Banjir: Alwi Kecewa Gergasi Korporat Lembab

KETEREH – Bila syarikat gergasi nak bantu mangsa banjir di Kelantan dan Pahang? Itulah persoalan yang dilontarkan oleh YB Datuk Md. Alwi Che Ahmad, Ketua Penerangan UMNO Kelantan di laman facebook nya, hari ini.

Alwi yang juga merupakan ADUN Kok Lanas dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh mempertikai komitmen firma gergasi tanah air terutamanya yang mendapat permit dan konsesi daripada kerajaan pusat.

Alwi Snapshot FB

“Setakat ini hanya Maybank…” catat Alwi, sambil bertanya di mana sumbangan gergasi lain seperti Maxis dan Celcom. Musibah banjir luar biasa di Kelantan pada tahun ini amat luarbiasa dengan mengakibatkan kerugian asset awam bernilai lebih RM200 juta.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan direkodkan seramai 110,747 orang setakat 10 malam ini yang melibatkan sebanyak 28,880 keluarga di 255 pusat pemindahan.

Menurut data Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Kota Baharu mempunyai bilangan tertinggi mangsa iaitu 25,750 orang di 34 pusat pemindahan, diikuti Tumpat (24,748 mangsa/33 pusat) dan Kuala Krai (23,500 mangsa/103 pusat).

Tanah Merah merekodkan 19,440 mangsa di 24 pusat pemindahan, Machang (7,801 mangsa/30 pusat), Gua Musang (6,493 mangsa/17 pusat) dan Pasir Mas (3,015/14 pusat).

Kelantan merupakan antara negeri yang teruk terjejas akibat banjir.