Komitmen Agensi Kerajaan – Mustapa Terharu Dan Berterima Kasih

KUALA LUMPUR – YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed mengucapkan jutaan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan agensi-agensi Kerajaan Pusat dan Negeri, serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas bantuan tidak ternilai sepanjang bencana banjir melanda Negeri Kelantan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Mustapa selaku Pengarah Jawatankuasa Banjir Negeri menyatakan rasa terharunya dengan komitmen semua pihak. Beliau meluahkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, khususnya ketika laluan darat ke Kelantan telah terputus. Menurut Mustapa, pihak ATM telah mengguna pesawat C130 untuk mengangkut bekalan makanan, pakaian dan lain-lain bekalan sumbangan rakyat Malaysia dari Subang ke Kelantan. Sejak 3 hari lepas, pihak ATM juga telah menguruskan penghantaran melalui treler sebaik laluan darat dibuka semula. Sehingga kini sejumlah 1,700 ton bekalan telah dihantar oleh pihak ATM, dan kebanyakkannya ke Kelantan.

Mustapa menambah, pihak PDRM juga telah membantu ATM mengagihkan bekalan di dalam negeri dengan menggunakan helikopter.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri ini terus menunjukkan penurunan ketara kepada 28,087 orang daripada 7,000 keluarga berbanding 43,163 orang semalam. Menurut statistik yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat pukul 10 pagi ini, di Tanah Merah jumlah mangsa kini seramai 14,184 orang melibatkan 3,429 keluarga.

Di Kota Bharu, jumlah mangsa yang ditempatkan 6 pusat pemindahan pula terus berkurangan kepada 1,440 orang daripada 325 keluarga manakala di Kuala Krai melibatkan 5,645 orang. Di Pasir Mas seramai 281 mangsa; Tumpat, (976 orang); Gua Musang (3,006 orang) dan Machang, (2,555 orang).