Padah Khianati Alam Sekitar

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan kejadian banjir besar yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur pada masa ini adalah harga yang perlu dibayar akibat mengkhianati alam sekitar.

Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang me­lakukan pencerobohan hutan secara berleluasa terutama di Cameron Highlands dan Tanah Tinggi Lojing sememangnya salah satu punca banjir.

“Perkara ini tidak perlu pakar sains atau penganalisis alam sekitar untuk buat andaian, memang jelas. Pembersihan hutan, pembalakan dan pertanian sesuka hati tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana perlu ada perancangan rapi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, penerokaan hutan telah menyebabkan kerugian besar kepada negara kerana selain melibatkan kerosakan kepada bentuk muka bumi, rakyat secara khusus turut terkesan dan menjadi mangsa.

“Bagaimana pula dengan hidupan liar, pokok, flora dan fauna yang menjadi khazanah negara kita. Itu semua perlu diambil kira dan dijaga sebaik mungkin. Suka atau tidak semua ini memainkan peranan yang cukup besar. ­Akhirnya, ini yang kita perlu bayar balik jika gagal menjaga alam sekitar,” jelasnya.

Sementara itu, Pre­siden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan menegaskan, kerajaan perlu memandang serius dan meneliti semua aduan yang pernah dilaporkan untuk menangani isu ini.

“Sebelum ini kita telah banyak membuat aduan dan menyalurkan maklumat tetapi kerajaan negeri khususnya seperti memandang remeh sehinggalah bencana banjir ini melanda negara.

“Pihak kami sentiasa terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak terlibat dengan menjadi mata dan telinga mereka namun kami mengharapkan langkah penguatkuasaan itu perlu dilaksanakan dengan proaktif,” katanya. (Utusan Online)