Muhyiddin: Sebar Fitnah Banjir Perbuatan Keji

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan individu-individu yang menyebarkan berita palsu dan fitnah mengenai bencana banjir menerusi facebook dan whatsApp, sebagai perbuatan keji, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Selain bertentangan dengan ajaran Islam, Muhyiddin ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M di Masjid Putra, berkata perbuatan itu tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim serta menimbulkan rasa benci dan permusuhan sesama umat Islam.

KB01_261214_BANJIR18

“Cerita-cerita yang direka oleh mereka yang berniat jahat ini banyak menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan rakyat,” tambah Muhyiddin yang menggesa masyarakat supaya tidak mudah mempercayai berita yang tersebar di laman sosial tanpa sumber yang sahih.

Kelantan adalah negeri paling teruk dilanda bencana banjir pada kali ini dengan Jumlah mangsa banjir di Kelantan direkodkan mencecah 110,747 orang setakat yang melibatkan sebanyak 28,880 keluarga di 255 pusat pemindahan.

Menurut data Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Kota Baharu mempunyai bilangan tertinggi mangsa iaitu 25,750 orang di 34 pusat pemindahan, diikuti Tumpat (24,748 mangsa/33 pusat) dan Kuala Krai (23,500 mangsa/103 pusat).

Tanah Merah merekodkan 19,440 mangsa di 24 pusat pemindahan, Machang (7,801 mangsa/30 pusat), Gua Musang (6,493 mangsa/17 pusat) dan Pasir Mas (3,015/14 pusat).