MB Kelantan: Ujian Banjir Untuk Tambah Pahala, Bukan Dosa

KOTA BHARU – Jadikanlah ujian banjir ini sebagai penyebab untuk kita menambah pahala, bukannya penyebab untuk kita menambah dosa, demikian gesa Menteri Besar Kelantan, YB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.

Menerusi tulisannya yang disiarkan di Harakahdaily, Ahmad berkata, “Pasca banjir yang terjadi pada kali ini merupakan ujian yang begitu berat kepada kerajaan dan rakyat Kelantan,”.

Ahmad juga mengkritik ‘sesetengah pihak’ yang didakwanya menuding jari menyalahkan pihak kerajaan negeri sebagai penyebab kepada banjir besar yang melanda negeri ini.

pm1

“Setelah Cameron Highlands dilanda banjir lumpur sedikit waktu dahulu dan dengan banjir besar yang berlaku baru-baru ini,” tambah Ahmad yang mendakwa, “ada pihak-pihak tertentu dengan pantas menuding jari kepada pembalakan berleluasa di Tanah Tinggi Lojing sebagai penyebab kepada banjir besar di negeri ini.”

Ahmad yang memegang jawatan Menteri Besar selepas Pilihanraya Umum Mei 2013 menjelaskan kerja-kerja pembalakan telah dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi.

Banjir besar yang melanda Negeri Kelantan hujung tahun 2014 ini adalah yang terburuk dalam sejarah Negeri Kelantan dan lebih dayshat dari peristiwa ‘Bah Merah’ 1967. 10 jajahan di Kelantan ditimpa musibah tersebut dengan Gua Musang dan Kuala Krai adalah yang paling teruk.

Sebelum Pilihanraya Umum 2013, UMNO Kelantan telah memberi amaran bahawa aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di Kelantan Selatan boleh mengundang bencana besar kepada penduduk negeri itu. UMNO Kelantan telah menyiarkan gambar-gambar dari udara yang menunjukkan gondola-gondolan pada kawasan tanah tinggi akibat pembalakan. Bagaimanapun, Ahmad yang ketika itu Timbalan Menteri Besar mendakwa, ‘itu semua kisah lama’.

Hari ini Ahmad mendakwa, “Kekuasaan Allah mengatasi segala sesuatu. Upaya manusia hanyalah melalui izin-Nya. Allah menurunkan ujian ini kepada kita semua untuk kita merenung akan kekuasaan-Nya.”

“Saya dengan ini menyeru seluruh rakyat negeri ini agar menginsafi isyarat daripada Allah ini. Jadikanlah ujian banjir ini sebagai penyebab untuk kita menambah pahala, bukannya penyebab untuk kita menambah dosa,” rayu Ahmad.