Exco PAS Selangor: 150 Buah Rumah Untuk Kelantan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor rancang bina 150 buah rumah pasang siap untuk mangsa banjir di Negeri Kelantan, demikian lapor Harakahdaily hari ini.

Harakahdaily memetik Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Samad (gambar) sebagai berkata, rumah itu bersaiz 500 hingga 550 kaki persegi akan dibina di dalam tempoh 30 hari. Kos bagi setiap rumah itu dianggarkan RM10,000 akan diuruskan oleh PKNS dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dilaporkan memberitahu mesyuarat Teknikal Bantuan Rumah Projek Kasih Selangorku telah mendengar pembentangan cadangan daripada 4 kontraktor untuk projek berjumlah RM1.5 juta itu. Bagaimanapun Harakahdaily tidak menyebut nama 4 kontraktor berkenaan.

“Cadangan-cadangan ini akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor pada 8 Januari untuk dipilih oleh Kerajaan Negeri,” Iskandar dilaporkan berkata.

Semalam, YAB Menteri Besar Kelantan di dalam kenyataan medianya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kerajaan Negara Thai di atas pelbagai bentuk bantuan dan bekalan yang disalurkan.

Ustaz Ahmad Yakob juga berterima kasih kepada warga Bangladesh yang membantu kerja gotong royong di kawasan terjejas banjir bersama para sukarelawan dari dalam dan luar negara.

MB Kelantan menafikan yang beliau menutup pintu kepada sukarelawan dari luar Kelantan seperti yang tersebar sebelum ini.

“Jauhilah fitnah dan khabar angin yang hanya menambahkan saham dosa dalam diari amal kita,” tambah Ahmad lagi.