Sebar Maklumat palsu Banjir, Juruteknik Ditahan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim

KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai banjir melalui laman sosial Facebook Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kuantan, Pahang, pada 10 pagi semalam.

“Suspek dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui laman sosial Facebook kononnya bekalan makanan yang dibawa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk dihantar ke Kuala Krai disekat oleh pihak berkuasa.

“Perkara ini menjadi viral pada 27 Disember lepas dan laporan dibuat pada 29 Disember seterusnya menahan seorang lelaki yang juga seorang juruteknik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Mazlan, lelaki tersebut kini direman selama tiga hari bermula semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan, polis kini sedang giat menjejaki seorang lagi lelaki berusia 30-an kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek ini dipercayai menyebarkan maklumat kononnya terdapat mayat bergelimpangan di Guchil, Kuala Krai.

“Kita kenal pasti suspek dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua kes tersbut akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.