RM270 Anggaran Baik Pulih Kemudahan Kesihatan Terjejas Banjir

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menganggarkan kira-kira RM270 juta diperlukan untuk membaik pulih kemudahan kesihatan di negeri-negeri terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, kos tersebut termasuk bagi menggantikan peralatan, hospital dan klinik yang rosak.

“Terdapat lebih kurang 20 klinik yang rosak dan beberapa klinik yang separa rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas kempen derma darah bagi mangsa banjir Pantai Timur di ibu negara semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, Klinik yang rosak akibat banjir akan beroperasi di kabin sementara bangunan dibaik pulih atau bangunan baharu siap.

“Kemudahan kabin akan disediakan dalam masa satu hingga tiga bulan ini dan akan digunakan sehingga bangunan baharu disiapkan yang mungkin mengambil masa satu atau dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Subramaniam memberitahu kementerian juga akan mengkaji kemudahan kesihatan untuk penambahbaikan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana tersebut pada masa akan datang.