‘Ops Pasca Banjir’ Pantau Harga Barang


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan operasi ‘Ops Pasca Banjir’ bagi memantau harga makanan dan barangan keperluan asas di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek (gambar) berkata, operasi akan bermula pada hari ini (Khamis) sehingga Mac depan bagi memastikan barangan terbabit mencukupii selain harga yang berpatutan.

Katanya, ia akan diaktifkan secara bersepadu ekoran rungutan orang ramai berhubung kenaikan mendadak harga beberapa barangan selepas banjir di beberapa kawasan.

“Operasi secara besar-besaran ini diadakan bertujuan untuk memastikan barangan makanan dan keperluan adalah mencukupi dan dapat dibeli dengan harga berpatutan semasa dan selepas banjir.

“Seramai 2,000 pegawai penguatkuasa kementerian di seluruh negara akan digerakkan terutamanya di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir dan pemantauan ditumpukan pada kilang-kilang pengeluar barangan, pengimport, peniaga runcit dan pasar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan barangan keperluan sekolah bernilai RM1.5 juta kepada mangsa banjir.

Barangan hasil sumbangan beberapa pasar raya di sekitar kota ini, itu akan disalurkan ke negeri-negeri yang terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Tambahnya, selain bagi mengurangkan beban perbelanjaan para pengguna operasi berkenaan juga bertujuan untuk menyelesaikan isu aliran bekalan makanan dan barang keperluan asas agar lebih efisyen dalam semua aspek termasuk dari segi harga dan pasaran.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pengguna memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kementerian agar tindakan segera dapat dilakukan terhadap mereka yang tidak bertanggung jawab.