Pecat Pengarang, Mustafa Digesa Berundur

KOTA BHARU – Isu pemecatan tiga pengarang akhbar Harakah membuatkan Pengerusi akhbar itu, Datuk Mustafa Ali dibidas dan dikritik pedas malah, digesa supaya berundur daripada jawatan tersebut.

Pengasas lidah rasmi PAS itu, Ishak Surin ketika membuat gesaan tersebut menyifatkan tindakan memecat tiga pengarang terbabit sebagai zalim selain melanggar hak kebebasan bersuara.Ishak Surin

Bahkan, melalui nada keras beliau mencabar Mustafa dengan berkata “‎Saya cabar Mustafa Ali berundur. Kita sangat benci ‘anak’ yang kita lahirkan tiba-tiba bersikap zalim,”.

Tiga pengarang terbabit adalah Pengarang Harakah Tarmizi Md. Jam, Pengarang Rencana, Roslan Hamid dan Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Ahmad.

Mereka dilaporkan dipecat serta-merta kerana dikatakan menyiarkan artikel yang mengkritik kepimpinan ulama dalam PAS.

Memetik The Malaysian Insider Ishak berkata, tindakan meminta Lutfi meletakkan jawatan sewaktu beliau masih cuti sakit adalah tindakan yang tidak beretika, biadap bahkan zalim.

“Begitu mengejutkan sekali. Semuanya berlaku pada saat-saat PAS sedang bergolak hebat dengan krisis kepimpinan dan konflik antara golongan tertentu hingga mengakibatkan jualan akhbar Harakah jatuh merudum,” katanya.

Dalam pada itu beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu dibuat akibat krisis kepimpinan dan konflik antara golongan yang sedang bergolak dalam PAS.

“Akibatnya mereka menjadi mangsa yang tidak berdosa dan mangsa pentadbiran zalim dan tidak bertanggungjawab,” katanya sambil menegaskan pemimpin PAS yang tidak betul dan zalim perlu ditentang terlebih dahulu sebelum menentang UMNO kerana ia merosakkan imej Islam.

Sementara itu, Ahmad Lutfi dalam reaksinya, tidak tahu sama ada hasrat memberhentikannya ada kaitan dengan penyiaran artikel yang dikatakan mengkritik ulama dalam PAS.

Jelasnya, beliau hanya dimaklumkan melalui sepucuk surat bahawa keputusan itu dibuat ahlilembaga pengarah “atas faktor kesihatan”.

Ahmad Lutfi Othman “Saya terkejut sebab Harakah tidak pernah pun tanya khabar saya dan minta rekod perubatan saya, tiba-tiba suruh saya ambil pencen illat,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengesahkan, telah membuat pertemuan dengan pengurusan Harakah berhubung isu tersebut dan enggan menerima gesaan (berhenti) kerana masih berminat untuk terus memberi khidmatnya kepada akhbar itu sebagai sumbangan kepada parti.

“Pihak pengurusan Harakah juga bersetuju untuk membawa perkara itu ke mesyuarat ahli lembaga pengarah bulan depan.

“Bila berlaku macam ni, moral saya jatuh. Saya harap masih ada ruang perbincangan bersifat keluarga,” katanya yang kini masih dalam cuti sakit.