Banjir; Hujan Berterusan Gamit Resah

Rumah yang menjadi tempat tinggal penduduk di jajahan Kuala Krai hancur musnah sama sekali akibat bencana banjir baru-baru ini

KUALA KRAI – Ketika trauma banjir yang meranapkan beberapa kawasan di daerah ini Disember lalu belumpun pulih, tiba-tiba sejarah hitam itu kembali menggamit resah apabila air kembali naik berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Datuk Ramzi Ab Rahman (tengah) gambar fail.
Datuk Ramzi Ab Rahman (tengah) gambar fail.

Keadaan itu mengakibatkan beberapa barangan milik penduduk seperti tilam, bantal dan sebagainya yang sedang dikeringkan akibat banjir baru-baru ini sekali lagi ditenggelami air.

Hujan sesekali lebat dengan keadaan cuaca yang tidak menentu itu turut menyebabkan beberapa laluan menghubungkan kampung berdekatan kemballi dinaiki air tetapi tidak menjejaskan operasi aliran trafik.

Difahamkan, jika hujan berterusan beberapa kawasan rendah akan dinaiki air sekali gus menyebabkan hubungan antara beberapa kampung terputus.

Tragedi banjir Disember lalu menyaksikan episod duka dengan ratusan penduduk dari daerah terbabit kehilangan harta benda termasuk tempat tinggal.

Berdasarkan bancian awal pihak berkuasa mendapati (angka tidak rasmi) sebanyak 1,774 buah rumah di daerah ini musnah 100 peratus dan hanya tinggal tapak akibat bencana banjir baru-baru ini.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Bencana Banjir negeri, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, proses pengumpulan data sedang dijalankan bagi memastikan statistik sebenar kemusnahan yang berlaku akibat tragedi itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai berkata, saat paling kritikal selepas banjir adalah selepas tempoh sebulan memandangkan kebanyakan penduduk daerah terbabit rata-ratanya adalah penoreh getah.

“Sekarang bantuan daripada pelbagai pihak mencurah-curah tiba, makanan masih mencukupi namun selepas sebulan orang akan semakin melupakan mangsa banjir dan ketika itu keadaan akan menjadi lebih kritikal.

“Banjir telah merosakkan pokok getah, mereka juga tidak dapat menoreh dengan cuaca tidak menentu yang mungkin berlarutan sehingga penghujung Februari, masa itu mereka amat memerlukan bantuan dari aspek kewangan untuk meneruskan hidup,” katanya.