Kerjasama Pusat, Negeri Demi Rakyat – Zahid

TANAH MERAH – Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dalam menangani pelbagai bentuk bencana alam termasuk banjir harus diterima secara ikhlas dan bersepadu oleh semua pihak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ideologi politik kepartian tidak wajar dijadikan batas pemisah dalam usaha membentuk apa jua kerjasama (antara Kerajaan Persekutuan dan PAS negeri) demi kesejahteraan rakyat.

“Kita perlu ketepikan batas pegangan dan ideologi politik masing-masing, apatah lagi ketika ancaman musibah yang melanda menjadikan rakyat rasa terbeban.

“Jika ia dapat diteruskan dalam aspek lain, ia boleh menyumbang keberhasilan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang terjejas banjir di jajahan ini dan menyertai gotong-royong di Perumahan Polis Taman Kiara di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan persekutuan dan kerajaan PAS Kelantan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir.

Jawatankuasa tersebut dibentuk bagi memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat banjir dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan.

Ahmad Zahid berharap, dalam situasi getir begini tidak ada pihak yang cuba menaikkan bendera mempamerkan identiti kumpulan tertentu kerana bantuan yang disalurkan harus melata dan dapat merungkai batas persempadanan politik.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, memberitahu 46 laporan polis telah dibuat oleh pemilik pasar raya dan kedai runcit berhubung kecurian yang berlaku sepanjang banjir melanda negeri ini melibatkan kerugian RM1.9 juta.

“Ia melibatkan kerugian RM1.9 juta dan 110 tangkapan telah dibuat bermula 17 Disember lalu. Saya faham ada mangsa yang terdesak tapi tidak boleh ambil kesempatan dalam kesempitan begini.