MKN Minta Nilai Kerugian

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) meminta semua negeri terjejas banjir agar menyediakan nilai kerugian akibat bencana itu selewat-lewatnya bulan depan.

Timbalan Setiausaha (Pengurusan Keselamatan) MKN, Ogu Salim Omar berkata, ia penting bagi membolehkan usaha membaik pulih dan membangunkan kawasan yang terjejas banjir dijalankan dengan berkesan.

“Jika jumlah yang dinilai tidak tepat, ini akan menyukarkan proses baik pulih di kawasan yang terjejas dan kita perlu datang semula ke kawasan itu untuk membuat penilaian semula.

“Setakat ini pengiraan kerosakan belum dijalankan kerana pihak berkaitan di peringkat daerah sedang menjalankan kerja menyelamat di negeri-negeri terjejas banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir bagi Kelantan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana Asean (AHA Centre) di Pusat Kawalan Bencana Negara.

Bantuan AHA Centre bernilai RM1.8 juta itu meliputi khemah dan kit pertukangan rumah yang mana sebahagiannya telah dihantar ke Kuala Krai pada Isnin lepas, manakala sebahagian lagi akan disalurkan ke kawasan lain di Kelantan secepat mungkin.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AHA Centre Said Faisal berkata, semua barangan tersebut digerakkan dari sistem logistik kecemasan bencana untuk Asean (Delsa) yang berpangkalan di Subang.

Katanya bantuan itu merupakan simbolik semangat setiakawan serta solidariti komuniti Asean dan akan diteruskan terutama sekali dalam pengurusan bencana.

tragedi banjir ‘bah kuning’ melanda Kelantan Disember lalu menyaksikan episod duka ribuan rakyat negeri itu kehilangan harta benda termasuk tempat tinggal.