PKR Resah Kerjasama Pusat, PAS Negeri

KOTA BHARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil dengan sikap egonya ketika rakyat Kelantan masih berdukacita akibat musibah banjir bulan lalu.

Sikap itu jelas apabila parti itu menyifatkan kerjasama membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dalam membantu rakyat yang terjejas teruk akibat bencana banjir melanda negeri itu sebagai ‘tidak perlu’.

Justeru, PKR Kelantan mahu pimpinan PAS dan UMNO supaya membezakan antara isu politik dan kebajikan rakyat.

Memetik laporan Mstar, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir, mengingatkan kepimpinan PAS supaya tidak terjerat dengan mainan politik UMNO.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk bantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu bencana alam jadi, tak perlu dikaitkan dengan UMNO ataupun PAS,” katanya.

Kerjasama dua parti politik (UMNO dan PAS) itu telah terjalin melalui penubuhan Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan pada 26 Disember lalu.

PKR dan PAS pernah mencatat sejarah hitam dalam hubungannya sebagai sekutu Pakatan Rakyat menerusi konflik pelantikan Menteri Besar Selangor tahun lalu.

Sementara itu, dalam musibah yang meruntun seluruh jiwa raga rakyat beberapa pemimpin dari kedua-dua parti (UMNO dan PAS) bertungkus-lumus meredah banjir membantu mangsa di beberapa daerah yang dilanda bencana paling buruk dalam sejarah negara.

Tinjauan sokmo.net dalam status Facebook, pemimpin UMNO kelihatan sibuk meminta bantuan dan berusaha menyampaikan bantuan kepada mangsa di Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, belum sempat menghabiskan cutinya di luar negara bergegas pulang sebaik menerima maklumat rakyatnya diancam banjir luar biasa.

Namun, kredibiliti dan integriti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal pulang dari bercuti semasa rakyat dilanda musibah sebaliknya menjadi kesangsian rakyat.

Beliau hanya muncul tatkala episod ancaman ganas banjir semakin reda dengan alasan masalah penerbangan.