Sesi Persekolahan 2015 Kelantan, Terengganu Dibuka Ahad Ini

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan hari ini mengesahkan sesi persekolahan bagi Kelantan dan Terengganu pada tahun ini akan mula dibuka pada Ahad ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebanyak 79 peratus sekolah di Kelantan sudah bersedia dibuka sepenuhnya manakala bakinya dijangka dapat beroperasi dalam masa terdekat.

“Sebanyak 130 daripada 165 sekolah di Kelantan sudah dapat dibuka pada Ahad ini dan kita jangka esok sukarelawan akan bekerja keras untuk memastikan sekolah-sekolah lain juga dapat dibuka awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan tabung bantuan banjir Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Tambahnya, manakala semua sekolah di Terengganu pula telah bersedia 100 peratus untuk dibuka pada Ahad ini.

Seebelum ini sesi persekolahan untuk 2015 ditangguhkan seminggu daripada tarikh asal berikutan keadaan banjir yang melanda negara terutama di Pantai Timur Semenanjung.

Ia dibuat selepas mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat banjir akan mengambil masa untuk dipulihkan dan guru-guru, ibu bapa serta pelajar yang terlibat memerlukan masa untuk membuat persiapan.

Kira-kira 300 sekolah di Kelantan terjejas akibat banjir besar yang melanda negeri itu tahun lalu.