Zizan Enggan Jawab

KUALA LUMPUR – Pelakon Zizan Razak, cuba mengelak daripada menjawab isu keretakan hubungannya dengan Emma Maembong dengan meminta supaya diberikan sedikit ruang sebelum berbuat demikian.

Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 31, berkata, belum bersedia dan tidak selesa untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung isu berkenaan buat masa ini.

“Maafkan saya. Buat masa ini saya tidak selesa untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara ini.

“Saya harap dapat diberi sedikit ruang buat sementara waktu ini kerana saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa,” katanya selepas selesai persembahan Tahajjud Cinta Sirah Rasulullah di Panggung Sari, Istana Budaya lewat malam tadi.

Sebelum ini mereka dilaporkan berpisah ekoran pergaduhan selepas Zizan menyuarakan hasrat untuk membeli sebuah kereta mewah.

Hasrat tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui Emma kerana tidak gemar lelaki yang suka membazir.

Pun demikian, Zizan menyangkal dakwaan kononnya mereka sudah putus sebelum Emma tampil mengesahkan perkara itu dalam sebuah akhbar.

Emma, ketika mengesahkan isu berkenaan melalui aplikasi whatssap kepada sebuah akhbar baru-baru ini berkata “Betul. Mungkin (sudah) tak ada jodoh (antara kami) agaknya. Minta maaflah saya belum bersedia bercerita. Bukan sekarang, tapi nantilah saya cerita (bila tiba masa sesuai). Terima kasih sebab faham”.

Dalam pada itu, Zizan berkata, pendedahan Emma itu tidak menggangu emosinya sebaliknya menganggap ia sebagai dugaan makhluk yang harus dihadapi dengan tabah dan tenang.

“Sebagai manusia biasa pasti akan diberi dugaan dalam hidup tidak terkecuali saya dan, masalah ini tidak menggangu sebaliknya saya terima dugaan dengan tenang,” katanya.

Selain konflik berkenaan, Zizan kini berhadapan dengan tindakan saman di mahkamah oleh rakan kongsi dan bekas pengurusnya iaitu Marina Juki dengan tuntutan lebih RM500,000 kerana pelanggaran kontrak.