MKN Sedia Khemah Mangsa Di Kuala Krai

GUA MUSANG – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan 150 buah khemah kepada mangsa banjir di tiga buah kampung yang terjejas teruk akibat banjir di jajahan Kuala Krai.

Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, tiga kawasan itu adalah Kampung Manjor, Kampung Pemberian dan Kampung Karangan.

Menurutnya, usaha tersebut dibuat selepas mengambil kira permintaan mangsa terlibat yang enggan berpindah tetapi mahukan tempat untuk berteduh.

Katanya, khemah tersebut akan dipasang berhampiran dengan kawasan tapak rumah mangsa yang musnah akibat banjir besar yang melanda kampung terbabit baru-baru ini.

“Atas permintaan penduduk, kami bersetuju untuk memasang khemah di kawasan tapak asal rumah mangsa terbabit yang musnah itu dan kerja-kerja pemasangan akan dijalankan dalam masa terdekat ini.

“Mereka enggan berpindah ke penempatan sementara maka, kita akan membina khemah berdekatan dengan rumah mereka yang rosak,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau 100 buah khemah yang hampir siap dipasang untuk kegunaan mangsa banjir di bandar utama jajahan Gua Musang.

Tambahnya, khemah yang disediakan adalah daripada material yang berkualiti untuk kegunaan perlindungan kerana mempunyai ciri kalis haba, tahan angin dan hujan.

“Kapasiti khemah ini boleh memuatkan empat hingga enam orang dan strukturnya mungkin lebih selesa untuk dijadikan sebgai tempat perlindungan sementara,” katanya.