Perkasa Sering Dikritik Kerana Cemburu

KOTA BHARU – Tiga individu yang didakwa menuduh Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai ekstremis dituntut menyatakan justifikasi mereka mengenai tuduhan itu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, tiga individu tersebut ialah jurucakap kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25), Datuk Noor Farida Ariffin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Tan Sri Pheng Yin Huah dari Pertubuhan NGO Cina.

Katanya, Perkasa ingin melihat dan mendengar secara teliti rasional atau alasan di sebalik tuduhan itu sebelum memutuskan untuk membuat tindakan sewajarnya termasuk memfailkan saman ke mahmakah.

“Saya sudah minta peguam keluar tiga notis dan nak tengok jawapan mereka. Dari situ saya akan putuskan untuk failkan ke mahkamah seterusnya.

“Tuduh Perkasa ekstremis, apa asas mereka menuduh Perkasa ekstremis? Mengapa mereka tidak tuduh NGO lain seperti BERSIH yang membuat tunjuk perasaan, baling kereta pols dan sebagainya sehingga mengganggu gugat keselamatan orang awam,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Jelasnya, badan bukan kerajaan (NGO) itu sering dipersalahkan banyak pihak sedangkan banyak NGO mahupun individu lain yang terbukti didapati bersalah oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, Perkasa sering dikritik (khususnya dirinya selaku presiden) dengan pelbagai tohmahan kerana rasa cemburu di atas kecemerlangannya memimpin NGO Melayu itu.

“Saya simpulkan, semuanya kerana cemburu. Disebabkan enam tahun saya pimpin Perkasa, semua kerja saya buat hebat-hebat, saya wujudkan kecemburuan besar. Saya ialah orang yang disalah faham,” katanya.