RM500 Bantuan Ehsan Mangsa Banjir Di Kelantan

KOTA BHARU – Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir yang bermesyuarat kali pertama semalam memutuskan semua mangsa banjir negeri ini layak menerima bantuan ehsan sebanyak RM500.00.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar, atas), menetapkan bantuan tersebut akan dibuat berdasarkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan yang digazet, berpindah ke rumah sanak-saudara dan pusat pemindahan yang tidak digazet dan tidak berpindah tetapi terkepung.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, bagi fasa pertama bantuan tersebut akan diagihkan kepada mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan yang digazetkan.

“Manakala bantuan ehsan mangsa banjir yang berpindah ke rumah saudara mara atau pusat pemindahan yang tidak digazet dan tidak berpindah tetapi terkepung akan diberikan pada fasa berikutnya.

“Senarai penerima bantuan ehsan ini akan dimuktamadkan oleh wakil-wakil akar umbi mewakili Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Mana-mana mangsa banjir yang tercicir daripada senarai nama yang dimuktamadkan boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan bagi menerima bantuan ehsan,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan akan berkongsi maklumat mengenai tabung-tabung yang telah ditubuhkan bagi membolehkan keputusan dibuat mengenai agihan pembinaan rumah kekal diantara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagi membantu mangsa terbabit.

Menurut kenyataan itu, senarai rumah yang rosak tetapi masih boleh dibaiki akan disediakan oleh Pejabat Jajahan dan Jawatankuasa Bersama akan menentukan bentuk bantuan yang sesuai.

images
Ustaz Datuk Ahmad Yakob, YAB Menteri Besar Kelantan.

Sementara itu, pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang kehilangan rumah sepenuhnya akan diseragamkan dengan sebaik mungkin.

“Senarai rumah yang musnah sepenuhnya hendaklah disediakan melalui perbincangan diantara wakil-wakil akar umbi mewakili Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Ada tiga jenis penempatan yang akan dilaksanakan iaitu penempatan serta-merta dengan mendirikan khemah, penempatan sementara dalam bentuk rumah tidak kekal atau menyewa rumah kedai dan pembinaan rumah kekal,” katanya.

Tambahnya, penempatan serta-merta akan dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) manakala, penempatan sementara dan kekal akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), NGO dan individu.

Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir ditubuhkan bagi memulihkan semula kehidupan rakyat negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Usaha tersebut (penubuhan Jawatankuasa Bersama) telah mendapat sambutan baik PAS Pusat sekali gus menyaksikan episod baharu dalam sejarah pentadbiran PAS di Negeri Kelantan semenjak tahun 1990.