Ambil Pengajaran Peristiwa Tsunami – IMPAK

KOTA BHARU – Institusi Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan (IMPAK), menyeru, parti politik khususnya UMNO dan PAS mengambil pengajaran peristiwa Tsunami yang melanda Acheh pada 2004 bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha membangunkan kembali negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir bulan lalu.

Pengerusinya, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, musibah yang hampir meranapkan beberapa daerah terlibat itu bukan isu politik sebaliknya, isu kemanusiaan yang harus menjadi perhatian semua pihak.

“Semasa peristiwa Tsunami berlaku pimpinan tertinggi Acheh tidak sehaluan dengan pentadbiran Jakarta namun, mereka boleh bersatu apabila berlakunya peristiwa itu demi kelangsungan hidup rakyat.

“Jadi, dalam konteks Negeri Kelantan sekarang ini itulah yang kita mahu lihat. PAS, UMNO perlu mengetepikan perbezaan ideologi politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya kepada sokmo.net lewat malam tadi.

Tambahnya, kesan daripada kerjasama berkenaan (Acheh dan Jakarta) Acheh yang diibaratkan sebagai ‘padang jarak padang terkukur’ akibat dibadai Tsunami berjaya dipulihkan kembali.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan menyokong kerjasama antara PAS dan UMNO dalam menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Tegas Wan Khairul Ihsan, kerjasama yang dibentuk secara efektif sememangnya akan memudahkan lagi usaha membangunkan semula negeri dengan lebih efisyen.

sementara itu, dalam nada sinis beliau membidas segelintir pihak sengaja mencetuskan pertelingkahan punca banjir yang berlaku kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

“Puak PAS kata ‘bah kuning’ disebabkan oleh limpahan air dari empangan Kenyir, UMNO pula kata disebabkan aktiviti pembalakan tidak terkawal.

“sama ada ‘bah kuning, merah ataupun hijau’ yang penting sekarang usaha untuk memulihkan semula kesan terjejas banjir itu,” katanya.