Bank Islam Sumbang RM1.2 Juta Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan

KOTA BHARU – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Faudzi Che Mamat, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Zukri berkata, sebanyak RM1 juta daripada jumlah tersebut adalah bantuan bagi menampung kos pembinaan serta membaik pulih rumah-rumah mangsa yang telah musnah dan rosak teruk.

“Manakala RM200,000 adalah untuk lain-lain bantuan mengikut keperluan yang sesuai dengan keadaan termasuk dari segi bantuan barangan keperluan asas dan sebagainya,” katanya kepada pemberita

Dalam perkembangan berkaitan, Zukri memaklumkan, Bank Islam mengambil langkah proaktif dengan menawarkan moratorium bayaran bulanan pembiayaan bagi meringankan beban mangsa terbabit melalui Program Prihatin Bank Islam.

“Program ini merangkumi sebarang permohonan untuk menggantikan kad debit dan buku akaun Bank Islam yang hilang atau musnah, tidak akan dikenakan yuran permohonan.

“Para pelanggan perkhidmatan pembiayaan Bank Islam boleh memohon penangguhan bayaran bulanan untuk pembiayaan peribadi-i, pembiayaan kenderaan-i dan pembiayaan rumah-i selama enam bulan,” katanya.