MAIK Memperuntukkan RM32 Juta Bantu Banjir

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM32 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-Iz Petra ibni Sultan Ismail Petra bertitah, bantuan yang disediakan termasuk bantuan ‘one-off’ sebanyak RM10 juta, membina dan membaiki rumah RM12 juta, perubatan RM2 juta, tabung bencana negeri RM2 juta, membaiki masjid RM5 juta dan perbelanjaan pelbagai RM1 juta.

Menurut baginda, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, telah memperkenankan peruntukkan daripada wang zakat MAIK itu untuk membantu mangsa banjir dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Baginda bertitah semasa melancarkan Pusat Trauma Mangsa Banjir MAIK di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji.

Pusat tersebut akan dikendalikan oleh pakar dan doktor hospital dari dalam serta luar negeri dan berfungsi sebagai pusat kaunseling bagi membuka harapan baharu mereka terbabit meneruskan kehidupan.

“Saya amat berdukacita dengan apa yang dialami sebahagian besar rakyat yang terlibat dengan malapetaka banjir. Melalui lawatan saya ke beberapa pusat pemindahan banjir dan tinjauan melalui helikopter membolehkan saya melihat sendiri kesusahan yang dialami mangsa.

“Saya merasakan penubuhan pusat trauma ini amat penting dengan hasrat memberi harapan dalam membina semula kehidupan masa depan mereka dan memberi pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang memerlukan,” titah baginda.

Sementara itu, Tengku Mahkota bertitah, penyelarasan bersama agensi lain akan dilakukan supaya bantuan yang dihulur dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.