Azilah, Sirul Dijatuhkan Hukuman Mati

Tun Abdul Majid Tun Hamzah (kanan) dan Manoj Kurup berjalan meninggalkan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, dijatuhkan hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mensabitkan mereka bersalah di atas tuduhan membunuh warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan Azilah dan Sirul Azahar dengan dakwaan yang membawa hukuman maut itu.

“Mahkamah Rayuan tersilap dalam mengenepikan keputusan mahkamah sebelum ini dan membebaskan mereka,” kata Suriyadi yang merupakan salah seorang daripada panel lima hakim.

Panel lima hakim yang bersidang bagi prosiding tersebut dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Abdull Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi berkata, mahkamah berpuas hati bahawa kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).

Pada April 2009, Azilah dan Sirul dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati berlaku beberapa penyalaharahan (misdirection) oleh hakim Mohd Zaki Yasin dan mengarahkan kedua-duanya dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2013.

Sementara itu, ketika keputusan dibacakan sebentar tadi Sirul tidak kelihatan dan dilaporkan tidak hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan tersebut.

Peguam kepada Koperal Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin hadir di mahkamah hari ini mengesahkan ketidakhadiran anak guamnya.

“Memang betul dia tidak hadir ke mahkamah hari ini. Yang hadir hanya Azilah.

“Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya (Sirul) bagi memastikan dia menjalani hukuman,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan tersebut.