Bekas KP FINAS Meninggal

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Mohd Shariff Ahmad, meninggal dunia semalam akibat komplikasi jantung.

Isterinya, Datin Rusila Hashim melalui laman sosial Facebooknya mengesahkan Allahyarham meninggal dunia pada pukul 7.40 malam.

Menurut Rusila, jenazah akan dikebumikan pada pukul 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota.

Mohd Shariff,63, juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) dan anggota jawatankuasa Profima.

Pengerusi CCIG, Jurey Latif Rosli berkata, Allahyarham merupakan tulang belakang di sebalik penubuhan persatuan itu pada 2011.

Beliau menyifatkan Mohd Shariff sebagai seorang yang berusaha keras untuk membantu industri kreatif serta memperjuangkan industri dalam beberapa persatuan.