POKB Bantu 2,000 Mangsa Banjir

KOTA BHARU – Kira-Kira 2,000 mangsa banjir di seluruh daerah negeri ini menerima bantuan musibah bencana alam itu dari Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM200,000.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki S. Muhamad berkata, bantuan yang disumbangkan itu adalah hasil daripada dana Tabung Mangsa Banjir POKB yang ditubuh sejak gelombang terburuk itur melanda negeri ini Disember lalu.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak POKB terhadap penderitaan yang dialami mangsa akibat banjir besar baru-baru ini.

“Berikutan kejadian itu POKB telah mengambil beberapa inisiatif termasuk menubuhkan tabung bantuan bencana banjir dengan kerjasama pelbagai pihak dan, akhirnya kita berjaya merealisasikan misi tersebut dengan lancar dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 71 kakitangan penjara Pengkalan Chepa, di sini yang menjadi mangsa dalam tragedi banjir bulan lalu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Zawari Abd. Rashid.

Bentuk bantuan yang disampaikan ialah peralatan elektrik seperti seterika, periuk, dapur dan sebagainya bernilai lkeseluruhan lebih RM10,000.

Sumbangan disampaikan oleh Sheikh Ahmad Dusuki.

Mengulas lanjut, aktiviti tersebut akan diteruskan bagi membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani isu terbabit.