Polis Buru Sirul

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan Koperal Sirul Azhar Umar selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya atas tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Sirul Azhar dikatakan tidak hadir di mahkamah ketika keputusan itu dibacakan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, polis menjejaki anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Persekutuan.

“Waran tangkap dikeluarkan terhadap Sirul oleh Mahkamah Persekutuan dan sekarang polis sedang giat mengesannya (Sirul Azhar),” katanya menerusi sistem pesanan ringkas.

Sirul Azhar, 43, merupakan tertuduh kedua tidak hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini kerana dikatakan berada di luar negara.

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Sirul Azhar.

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya sebelum ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan Azilah dan Sirul Azahar dengan dakwaan yang membawa hukuman maut itu.

“Mahkamah Rayuan tersilap dalam mengetepikan keputusan mahkamah sebelum ini dan membebaskan mereka,” kata Suriyadi yang merupakan salah seorang daripada panel lima hakim.

Panel lima hakim yang bersidang bagi prosiding tersebut dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Abdull Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.