KAFA Faham, Harap Selesai

NaibPresiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengharapkan kerosakan padang Stadium Sultan Muhammad IV yang terjejas akibat banjir bulan lalu selesai sebelum bermulanya Liga Super musim baharu yang dijadual akan berlangsung Febuari depan.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, KAFA memahami situasi yang berlaku dan yakin kerja-kerja pemulihan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan gelanggang sendiri itu mempunyai kekeramatan tersendiri bagi skuad The Red Warriors (TRW).

“Lebih-lebih lagi sepak mula pertama bagi perlawanan yang berlangsung di gelanggang sendiri adalah sebagai pembuka semangat juang TRW meraih kecemerlangan di musim ini,” katanya kepada sokmo.net di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan pihak perbadanan stadium berkenaan agar KAFA tidak mengadakan apa-apa perlawanan persahabatan sebelum perlawanan sebenar.

Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan, Azi Rahimee Mohamed, dalam kenyataannya kelmarin berkata, padang stadium tersebut mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami air dalam tragedi banjir yang melanda negeri ini Disember lalu.

“Struktur padang mengalami kerosakan teruk kerana rumput mati selepas ditenggelami air akibat banjir dan ia perlu melalui proses penanaman semula untuk pemulihan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan sekiranya ada perlawanan persahabatan dalam tempot terdekat ianya dapat dilangsungkan (bermain) di stadium luar Kelantan.

Menurut Azi Rahimee, proses baik pulih padang sedang giat dijalankan dan ia dijangka pulih sepenuhnya Febuari ini.