Kerajaan Kelantan Akan Bina 25 Rumah Mangsa Banjir

KOTA BHARU — Kerajaan PAS Kelantan akan membina 25 buah rumah untuk mangsa banjir yang hilang kediaman melibatkan kos sebanyak RM1 juta.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, 16 buah akan dibina di Gua Musang dan sembilan di Ketereh.

Katanya, pembinaan rumah kekal fasa pertama itu adalah melalui sumbangan Tabung Amanah Bencana Banjir yang ditubuhkan kerajaan negeri ini pada 29 Disember lepas.

“Daripada maklumat terkini, sebanyak RM4,774,000 telah dikumpulkan melalui tabung tersebut. Oleh sebab itu kerajaan bersedia untuk membina rumah kekal yang pertama yang akan dilancarkan di Gua Musang sebanyak 16 buah dan di Ketereh sembilan buah dengan perbelanjaan RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai tabung berkenaan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengenal pasti tanah seluas 3.6 hektar di Manek Urai, Kuala Krai untuk dibina 150 buah rumah kekal dengan kos RM6 juta yang dibiayai kerajaan Selangor.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui ketua jajahan juga sedang mengenal pasti rumah untuk disewa selama tiga bulan bagi dijadikan kediaman sementara kepada mangsa banjir.

Sementara itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti sejumlah 56,472 ketua isi rumah yang terlibat dengan banjir bagi menerima bantuan sekali bayar RM500 daripada kerajaan persekutuan.

Beliau berkata senarai akhir ketua isi rumah itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pembayaran dibuat.