MB Sumbang Sebulan Gaji Kepada Tabung Amanah Bencana Banjir

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, sedia menyumbangkan sebulan gajinya kepada Tabung Amanah Bencana Banjir bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri ini.

Perkara itu diumumkan beliau dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang dilanda musibah banjir luar biasa bulan lalu.

Dalam pada itu, timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga akan turut berbuat demikian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara termasuk speaker kerajaan negeri akan mendermakan sebulan elaun mereka kepada tabung yang sama.

Banjir luar biasa yang melanda negeri ini bulan lalu disifatkan sebagai tsunami kecil hampir meranapkan beberapa daerah terlibat.

Tragedi malang itu menyaksikan episod derita lebih 2,000 isi rumah yang mana kediaman mereka musnah sama sekali dibadai gelombang ganas itu.

Kemusnahan akibat banjir di Kelantan dianggarkan berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta).