56,472 Layak Terima Bantuan Khas, Akui Pembalakan Haram Punca Banjir

KOTA BHARU – Seramai 56,472 ketua isi rumah di negeri ini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini layak menerima bantuan khas RM500 yang bakal disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah itu merupakan senarai akhir telah diputuskan oleh Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri yang dipengerusikan beliau serta Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bantuan tersebut akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban ditanggung mangsa dalam usaha membina semula kehidupan yang terjejas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, dalam perkembangan yang berasingan, beliau mengakui wujudnya aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan haram di negeri ini yang menjadi punca berlakunya banjir besar.

Ketika mengulas perkara itu beliau tidak menafikan turut mempunyai maklumat mengenai aktiviti tersebut dengan berkata ” Kita pun ada maklumat, saya cari maklumat, saya naik helikopter dan tengok cuma tidak mahu utamakan perkara itu lagi. Kita sentiasa bertanggungjawab”.

Bagaimanapun katanya, terpaksa ketepikan perkara itu buat masa ini untuk memberi tumpuan bagi memulihkan kehidupan rakyat yang terjejas akibat bencana banjir tersebut.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa kerajaan mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram tersebut.

Shahidan dilaporkan berkata, maklumat berkenaan diperolehi daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengandungi nama individu serta penaja termasuk ahli politik.