Kelantan Dalam Sejarah: Jolokan ‘Paris of Malaya’ Untuk Kelantan

Kelantan pada lewat tahun 50an dan 60an diberi jolokan ‘Paris of Malaya’. Jika anda fikir, jolokan itu diberi kerana menara telekomunikasi tinggi di tengah-tengah bandar Kota Bharu, anda silap. Jolokan yang pertama kali diberikan oleh Ahli Majlis Kerajaan Kelantan itu mendapat liputan meluas akhbar di Tanah Melayu. Artikel ini ditulis bersandarkan laporan-laporan akhbar mengenai Kota Bharu sepanjang dua dekad.

“Kelantan telah dikenali sebagai ‘Paris of Malaya’ akibat kegiatan pelacuran yang semakin meruncing, ke mana sahaja kita pergi, di seluruh pelusuk Tanah Melayu, mesti ada pelacur dari Kelantan,” demikian laporan yang dibentangkan Ahli Majlis Negeri Kelantan.

Menara telekomunikasi di tengah-tengah bandar Kota Bharu ini bukan punca jolokan 'Paris of Malaya'.
Menara telekomunikasi di tengah-tengah bandar Kota Bharu ini bukan punca jolokan ‘Paris of Malaya’.

Itulah laporan The Straits Times, 15hb April 1959, merujuk kepada pendedahan Nik Mohamed Amin Nik Ali, seorang ahli kepada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat kegiatan pelacuran di dalam Negeri Kelantan.

Paris of Malaya 2
The New Straits Times, 4hb Mei 1959. Ehsan National Library Board Singapore.

“Pelacuran adalah kesalahan besar, ia berlaku kerana ada permintaan dan penawaran. Pelajar-pelajar sekolah, baik lelaki mahupun perempuan turut terlibat,’ Mohamed Amin dilaporkan berkata ketika membincangkan laporan yang dibentangkan itu.

Menurut The Straits Times, di dalam pembentangan itu, Ketua Whip dari PERIKATAN pula dilaporkan merayu kepada kaum isteri supaya banyak bersabar dengan suami-suami mereka.

“Janganlah sebab benda-benda kecik, boleh jadi pergaduhan besar, sehingga si isteri mohon cerai,” kata Yaacob Bin Awang.

Bagaimanapun, isteri Yaacob, yang juga merupakan Ahli Majlis Negeri bangun dan membantah, “Perempuan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap kewujudan kegiatan pelacuran,” tegasnya.

“Lelaki juga patut bertanggungjawab, mereka seharusnya sedar kelemahan kaum wanita,”

“Kebanyakan perempuan terjebak ke dalam kancah pelacuran kerana mencari sesuap nasi untuk anak-anak mereka setelah diceraikan oleh suami,” tegas Che Halimah, isteri kepada Ketua Whip PERIKATAN.

Jolokan ‘Paris of Malaya’ itu bagaimanapun tidaklah diterima dengan baik. Seorang warga Paris yang menetap di Singapura telah menulis ke akhbar yang sama sebulan kemudian.

Pelacuran berleluasa senator pas masuk umno
The New Straits Times. 1hb July 1962. Ehsan National Library Board Singapore.

“Kota Bharu adalah pekan yang indah, tetapi menggelarkannya ‘Paris of Malaya’ adalah satu penghinaan kepada kotaraya Paris,” katanya menerusi surat kepada pengarang yang disiarkan pada 4hb Mei 1959.

Beliau mendakwa Paris adalah pusat kebudayaan dunia, dengan warga kota yang kuat bekerja, bermoral tinggi serta mengutamakan nilai kekeluargaan.

“Kota London lebih ramai pelacur dari Paris,” tambahnya.

Di dalam pilihanraya umum 19hb Ogos 1959, Pan-Malaysian Islamic Party (PMIP) – hari ini dikenali sebagai PAS, telah menawan Kelantan. Datuk Ishak Lotfi telah diangkat sebagai Menteri Besar Kelantan. Ishak berjanji akan membersihkan Kelantan daripada pelacuran.

Bagaimanapun pada 1hb Julai 1962, akhbar yang sama melaporkan bahawa terdapat pergolakan di dalam PMIP bila bekas Setiausaha Agung, Othman Abdullah telah menyertai UMNO. Othman ketika itu adalah Ahli Parlimen PMIP.

The Straits Times memetik Senator PERIKATAN dari Kelantan, Abdul Hamid Bin Mahmud berkata lima lagi yang berhormat dari PMIP di Kelantan akan turut lompat parti.

Hamid mendakwa pemimpin-pemimpin PMIP kini sedar, janji parti itu untuk membersihkan Kelantan dari pajak gadai dan pusat hiburan, serta menghapuskan pelacuran hanya janji kosong. Sebaliknya pelacuran semakin berleluasa disebabkan tiada tindakan diambil.

Hamid juga memberitahu di dalam satu rapat umum, hasil penjualan arak di Kelantan juga telah meningkat sebanyak $25,000, manakala kutipan yuran bagi pajak gadai meningkat dari $40,000 kepada $80,000.

Paris Malaya 4
Berita Harian, 6hb February 1965. Ehsan National Library Board Singapore.

Pada penghujung 1962, The Straits Times melaporkan Kerajaan Kelantan akhirnya mengumumkan untuk bertindak terhadap kegiatan maksiat.

“Kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PMIP akan bertindak bersungguh-sungguh untuk menghapuskan maksiat,” lapor akhbar itu pada 12hb November 1962.

“Adalah difahamkan kerajaan negeri hendak mengenalpasti jumlah pusat-pusat pelacuran di negeri itu dan siapa yang mengendalikannya,” tambah akhbar tersebut.

Akhbar itu memetik seorang pegawai kerajaan negeri sebagai berkata, “Setakat kita maklum, terdapat peningkatan mendadak jumlah gadis yang terlibat dalam pelacuran, mereka ini asalnya gadis kampung biasa.”

Tiga tahun kemudian, menurut laporan Berita Harian, kegiatan membersihkan imej Kelantan masih berterusan.

Di dalam laporan pada 6hb Februari 1965, akhbar itu di bawah tajuk “Paris of Malaysia sedang giat di-perindah”, melaporkan usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk mencantikkan bandar Kota Bharu supaya ramai pelancong akan mengunjungi ‘Paris of Malaya’ di masa akan datang. Kerajaan Kelantan bagaimanapun mengharapkan Kerajaan Persekutuan akan
membantu menyediakan dana untuk tujuan tersebut.

Menurut Berita Harian, antara usaha yang sedang dijalankan ialah pembinaan dua buah pasar baru di bandar Kota Bharu. Peruntukan pembinaan pasar ini yang berjumlah $628,700 adalah sumbangan dari Kerajan Persekutuan bertujuan memberi kemudahan kepada lebih 20,000 penduduk Kota Bharu.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.