Thailand Bantu 500,000 Metrik Tan Beras Kepada Mangsa Banjir

PASIR MAS – Kerajaan Thailand bersetuju memberikan bantuan sebanyak 500,000 metrik tan beras untuk disalurkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Konsul Jeneral Thailand di Kelantan Chakri Kanjanasoon berkata, bantuan tersebut akan diberi secara berperingkat.

Katanya, ia sebagai tanda keperihatinan kerajaan Thailand terhadap mangsa banjir terutama Kelantan sebagai jiran terdekat dua negara itu.

“Selain tanda keperihatinan kerajaan Thailand terhadap mangsa akibat musibah banjir baru-baru ini, bantuan ini juga akan lebih mengeratkan lagi hubungan dua hala khususnya Kelantan dan Thailand.

“Kami meminta mangsa yang terlibat agar banyak-banyak bersabar dengan dugaan ini dan kami sesungguhnya amat simpati dengan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian sumbangan bantuan banjir kepada kerajaan Malaysia di Kompleks ICQ Rantau Panjang di sini pada Khamis.

Sumbangan berbentuk keperluan asas, makanan dan perubatan itu disampaikan Chakrit kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang mewakil kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Thajudeen meminta mangsa-mangsa banjir yang hilang tempat tinggal akibat banjir luar biasa akhir Disember lalu berpindah sementara ke tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebuah kem Askar Wataniah, di negeri ini.