AS Tambah Bantuan RM3 Juta

MACHANG – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y. Yun mengumumkan kerajaan negaranya memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM3 juta bagi membantu proses pemulihan pasca banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Awal Januari lalu AS telah mengumumkan bantuan yang sama sebanyak RM525,000.

Y. Yun berkata, peruntukan tersebut merangkumi barangan, material, program dan sokongan teknikal bagi membantu semua mangsa terjejas dapat meneruskan kehidupan masing-masing dengan selesa.

Pengumuman itu dibuat Y. Yun semasa melawat kem Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Mercy Malaysia bercadang untuk membina 100 buah rumah sementara di Kuala Krai dan Gua Musang bagi membantu mangsa banjir di negeri ini kembali memulakan kehidupan baharu selepas masing-masing kediamannya dibadai musibah banjir.

Pengarah Wilayahnya, Norazam Ab. Samah berkata, kos pembinaan bagi sebuah rumah sementara yang mampu dibina dalam masa tiga hingga lima hari itu adalah antara RM15,000 ke RM20,000.

“Kita akan fokus kepada pembinaan 30 buah rumah sementara di Kampung Tualang dan Kampung Bekok di Kuala Krai dan antara kriteria pemilihan adalah rumah mangsa rosak teruk sehingga tidak boleh didiami.

“Buat permulaan, kita telah membina sebuah rumah di Kampung Tualang minggu lalu dan ia telah didiami oleh sebuah keluarga kira-kira empat hari lepas,” katanya.