Kerajaan Perlu Lebih Bertanggungjawab, Rakyat Harus Sedar – PERKASA

KOTA BHARU – Kerajaan PAS Kelantan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kehidupan rakyat terjejas akibat banjir baru-baru ini dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berkata, tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah mangsa terbabit tidak boleh diletakkan di bawah tanggungan kerajaan pusat semata-mata kerana Kelantan berada di bawah pimpinan PAS sepenuhnya.

“Kerajaan Kelantan pimpinan PAS jangan bergantung harap dan jangan letak beban terutama untuk bina rumah yang hanyut, kepada kerajaan pusat semata-mata.

“Kerajaan negeri sememangnya mempunyai tanggungjawab penuh terhadap permasalahan rakyat di bawah pemerintahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Taklimat Pimpinan Perkasa Kelantan di Kota Baru, di sini pada Sabtu.

Ibrahim berkata, dalam pada itu rakyat Kelantan sepatutnya menyedari tanggungjawab kerajaan pusat yang berusaha keras untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Sekarang semua boleh lihat kerajaan UMNO bertungkus lumus, bekerja keras dalam membantu rakyat bila berlaku bencana besar.

“Mereka (kerajaan UMNO) adalah yang terawal tampil bertindak bagi memenuhi kebajikan rakyat,” katanya.