SPRM Siasat Laporan Aktiviti Pembalakan Haram

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memandang serius laporan berkaitan kes pembalakan haram yang berlaku di seluruh negara sehingga menjejaskan alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan tanpa kompromi dan akan membawa kes ke mahkamah sekiranya ada keterangan atau bukti mencukupi.

“Semua laporan kami siasat dan siasatan dilakukan dari semasa ke semasa di semua negeri yang ada laporan tentang pembalakan haram.

“Kami akan siasat dan bawa ke mahkamah jika ada keterangan, tetapi kalau keterangan tidak cukup, kami akan kaji sistem dan prosedur yang digunakan.

“Jika ia didapati ada keperluan untuk diubah, maka kami mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya perubahan dasar dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Menyentuh mengenai proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir bagi mencegah penyelewengan beliau berkata, maklumat mengenainya boleh disalurkan terus kepada SPRM.

“Mana-mana pihak atau individu yang berminat boleh membantu pihaknya dengan menjadi sukarelawan untuk menyalurkan maklumat.

“Jumlah kami tak ramai jadi kami perlu sukarelawan, jadi jika ada sukarelawan yang ingin membantu SPRM, kami jemput daftarkan diri dan kami akan beri taklimat,” katanya.

Beliau berkata SPRM menerima 45 panggilan daripada orang awam berkenaan isu berkaitan banjir di seluruh negara selepas Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir ditubuhkan baru-baru ini.

Katanya, 36 panggilan itu adalah pertanyaan umum tentang bantuan banjir dan bakinya adalah aduan tidak puas hati kerana tidak mendapat bantuan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir tidak dijadikan sebagai landasan politik oleh mana-mana pihak terbabit.

Beliau juga turut mengingatkan, orang ramai tidak membuat sebarang tuntutan palsu kerana tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah.

“Tindakan ini akan diambil mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Banjir luar biasa yang melanda negeri ini akhir bulan lalu menimbulkan tanda tanya banyak pihak ia berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal berlaku di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, baru-baru ini dilaporkan mengakui, mempunyai maklumat berhubung aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan secara haram di Kelantan.

Menurutnya, aktiviti pembalakan turut didakwa berlaku di Gua Musang dan sedang dalam perhatian kerajaan negeri menerusi Task Force yang diwujudkan.