Kuatkuasakan SOP Kerja Pembangunan Tanah – Jamawi

GUA MUSANG – Kerajaan perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) sebelum membenarkan kerja pembangunan tanah termasuk pembukaan hutan untuk pertanian bagi memastikan keadaan alam sekitar terus terjaga.

Bagi memastikan keberkesanan operasi itu ia memerlukan kerjasama mantap antara Kerajaan Pusat dan negeri.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, pembukaan tanah bagi tujuan pertanian sekarang ini tidak selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

“Pembukaan tanah bagi tujuan perkara itu sekarang ini memang jauh daripada peraturan yang dibenarkan.

“Dan mungkin itu (pembangunan tanah) yang menjadi punca berlakunya banjir teruk menyebabkan banyak kemusnahan terutama di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di Kampung Star di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, banjir kali ini amat luar biasa kerana ia bukan sahaja memusnahkan rumah dan harta benda tetapi juga meninggalkan kesan trauma jangka panjang kepada mangsa.

“Saya berharap banjir besar yang berlaku ini dijadikan iktibar oleh semua negeri dengan aktiviti pertanian dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, kawasan hutan yang telah diteroka perlu dilakukan pemuliharaan semula dengan menanam pokok atau tumbuhan kacang penutup bumi supaya struktur tanah terpelihara.