KAFA Minta Irfan Buat Penjelasan

KOTA BHARU – Dakwaan Irfan Bakti Abu Salim yang mengatakan penyerang Harimau Muda A, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir milik Felda United untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan tiba-tiba mengelirukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Ekoran itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa meminta pengendali Felda United (Irfan Bakti) itu membuat penjelasan lanjut mengenainya.

“Saya tidak faham dan minta Irfan buat penjelasan atau saya akan merujuk perkara tersebut kepada jawatankuasa status pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” kata Annuar dipetik Sinar Online.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemain berkenaan untuk membincangkan perkara tersebut secara lebih terperinci.

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan dakwaan Irfan Bakti bahawa Muhammad Ferris Danial menjadi milik kelab berkenaan berdasarkan surat pelepasan yang dikeluarkan badan induk bola sepak kebangsaan itu mengenai latihan pusat Sukan Sea bermula 1 Mei kepada kelab berkenaan.

Malah, Irfan Bakti turut memaklumkan Muhammad Ferris Danial kini menjalani latihan bersama skuad The Fighters dan pembayaran gaji pemain berkenaan juga dilakukan pasukannya.

Sebelum itu, Annuar berkata, bintang Harimau Muda A itu sudah bersetuju untuk menandatangi kontrak tiga tahun bersama Kelantan.

Muhammad Ferris bintang kelahiran Kelantan beraksi bersama Harimau Muda A sejak 2010 lalu.