Kelantan Dalam Sejarah: Tragedi Berdarah 1972 di Lemal, Bas Dirempuh Keretapi Barang

Tragedi berdarah di hari terakhir persekolahan penggal pertama, meragut nyawa 8 pelajar yang dalam perjalanan pulang bercuti. Peristiwa menyayat hati ini bukan sahaja merobek perasaan keluarga mangsa tetapi turut menghantui penduduk sekitar. Trauma itu berterusan, beberapa tahun selepas kejadian mereka masih boleh mendengar jeritan dan tangisan meminta pertolongan. 

“Suara mereka begitu menyanyat hati, sama kuat dengan bunyi keretapi melanggar bas itu…” kata seorang mangsa yang terselamat.

“Peristiwa paling ngeri dan tidak dapat dilupai,” demikian kata Hassan Bin Abdullah, 22 tahun semasa kejadian kepada media massa mengenai tragedi terburuk yang mengorbankan 11 nyawa di Kampung Lembah Tapah, Lemal.

Berita Harian, 31hb Mac, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.
Berita Harian, 31hb Mac, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.

Hassan, seorang anggota pengakap adalah antara penumpang bas milik Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) sewaktu ia dirempuh keretapi barang ketika itu melintasi laluan keretapi yang tidak berhadang pada jam 1.45 tengahari, hari khamis 30hb Mac 1972.

Ketika kejadian, bas itu sarat dengan 49 penumpang, seorang konduktor dan pemandu.

35 daripadanya adalah pelajar sekolah rendah dan menengah yang dalam perjalanan pulang pada hari terakhir persekolahan penggal pertama. Ramai di antara pelajar tersebut tinggal berdekatan sekolah, dan mengambil peluang untuk pulang bercuti di kampung masing-masing.

The Straits Times, fhb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.
The Straits Times, fhb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.

“Kerana bas terlalu penuh, saya dapat berdiri di tangga saja…” Hassan mengimbau kembali kejadian malang itu.

“Bila menyedari keretapi menghampiri bas, saya pun terjun dan berlari keluar dari landasan.

“Tidak dapat saya lupakan, apa yang saya lihat dan jeritan serta lolongan pelajar-pelajar dan orang dewasa yang sama menumpang bas itu.

“Suara mereka begitu menyanyat hati, sama kuat dengan bunyi keretapi melanggar bas itu…” ujar Hassan kepada Berita Harian yang disiarkan pada 1hb April 1972.

Bas tersebut di dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju ke Pohon Tanjong, melalui laluan Lemal, Labi dan Kampung Repek. Manakala keretapi barang yang membawa tiga gerabak itu didalam perjalanan dari Kuala Krai menuju Tumpat.

Berita Harian, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.
Berita Harian, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.

Bas terhumban 50 meter selepas dirempuh keretapi. Sebahagian badan bas pula melekat di kepala keretapi.

Mengikut pihak berkuasa, anggota badan manusia berkecai di landasan tersebut. Akhbar melaporkan, pasukan penyelamat masih mengutip tulang dan sisa daging manusia sehari selepas kejadian.

Sembilan mangsa terkorban serta merta, manakala satu lagi turut terbunuh kemudian di tempat kejadian. 30 mangsa cedera parah termasuk 28 perempuan. Seorang dari mangsa berusia 15 tahun yang cedera parah, meninggal pagi esoknya di Hospital Besar Kota Bharu. Dia adalah di antara 8 pelajar sekolah yang diragut nyawanya dalam insiden yang turut mengorbankan pemandu bas malang itu.

Para pelajar yang terlibat di dalam kemalangan ngeri itu ialah dari Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Sekolah Menengah Lemal, Sekolah Menengah Pasir Mas, Sekolah Kebangsaan Lemal, Maktab Kadir Adabi Cawangan Pasir Mas, dan Sekolah Arab Pasir Mas.

The Straits Times juga melaporkan seorang saksi, Ahmad Awang, bekas pemandu kereta sewa, mengesyaki pemandu bas itu cuba menukar gear sewaktu di lintasan.

“Jika tak salah, saya lihat seolah-olah bas itu terhenti di tengah lintasan,” ujar Ahmad yang ketika itu berdiri di perhentian bas yang jaraknya tidak sampai 10 meter dengan tempat kejadian.

Ahmad memberitahu akhbar, beberapa minit sebelum itu, bas tersebut berhenti di perhentian itu untuk menurun dan mengambil penumpang.

Ahmad mendakwa melihat ramai penumpang berdiri berdekatan dengan tempat pemandu bas.

Akhbar yang sama melaporkan seorang penumpang berusia 17 tahun yang terselamat berpendapat, pemandu bas tidak nampak keretapi itu kerana pandangannya terhalang oleh jambatan besi berdekatan tempat lintasan.

Kebanyakan penumpang yang terselamat, duduk di bahagian belakang bas.

The Straits Times, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.
The Straits Times, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.

Menurut pemandu keretapi, Abu Kassim Bin Ishak, dia melihat bas itu melintasi landasan 10 meter sahaja dari keretapi yang dipandunya.

“Saya jerit, bahaya!” kata Kassim kepada The Straits Times yang disiarkan pada 1hb April 1972.

Abu Kassim, 39 tahun, cuba memberhentikan keretapi itu serta merta tetapi ia sudah terlambat. Keretapi itu merempuh bas dan terseret sejauh 30 meter.

Sementara itu, The Straits Times turut melaporkan, Menteri Komunikasi, Tan Sri Saadon Jubir merayu kepada Menteri Besar Kelantan supaya bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk pastikan keselamatan di lintasan yang tidak berpagar.

Saadon memberitahu, sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan, beliau telah meminta kepada Menteri Besar supaya membina penghadang di lintasan-lintasan keretapi. Malangnya menurut Saadon, permintaannya tidak diendahkan.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Asri Muda di dalam responsnya memberitahu Berita Harian, Kerajaan Negeri baru sahaja membuat keputusan untuk mengemukakan cadangan supaya penghadang dibina di lintasan tersebut.

Asri yang juga Yang Dipertua Parti PAS melahirkan rasa dukacita pihak Kerajaan Negeri kerana cadangan yang diluluskan oleh kerajaannya itu belum sempat dibawa ke pengetahuan Keretapi Tanah Melayu.

Asri juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan mengumumkan keputusan yang dibuat itu kepada Kerajaan Pusat supaya ia mendapat perhatian segera.

Berita Harian, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.
Berita Harian, 1hb April, 1972. Ehsan National Library Board Singapore.

Akhbar yang sama melaporkan Menteri Persekutuan, YBM Tengku Ahmad Rithauddeen menziarahi mangsa-mangsa yang cedera di Hospital Besar Kota Bharu.

Ritahuddeen melahirkan rasa dukacitanya terhadap kejadian tersebut, terutama sekali kerana sebilangan besar yang menjadi mangsa adalah terdiri dari para pelajar.

Penumpang yang terkorban ialah, Hashim bin Mohamad (16), Sukri Ibrahim (16), Kamaruddin Ibrahim (9), Razali Mohamad (17), Ng Kin Yen (14), Rohani Isa (14), Maznah Binti Nor (15), Rashidah Hassan (16),

Wan Nas Wan Sulong (50), Abdullah Ismail (35), dan pemandu bas, Ismail Hamid (45).

Nota:

Warga sokmo.net mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kebanyakan mereka meninggalkan kita di dalam usia yang amat muda. Ada keluarga yang kehilangan tunjang mereka, ada yang kehilangan masa depan. Semoga insiden yang dapat dielakan sebegini tidak akan berulang lagi.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.