Nik Aziz Dimasukkan Ke ICU

KOTA BHARU – Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Nik Mohd. Abduh melalui laman sosial facebooknya sebentar tadi.

“Petang ini ayahanda dimasukkan ke ICU di HUSM selepas ke hospital sejak malam tadi.

“Seperti saya maklumkan semalam, kesihatan ayahanda agak menurun ketika banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang turut menyatakan akan memaklumkan perkembangan ayahandanya dari semasa ke semasa.

Semalam, Mursyidul Am PAS itu dilaporkan berada dalam keadaanm uzur namun, memilih untuk tidak diziarah.

Nik Mohd. Abduh berkata, ayahandanya dalam keadaan uzur biasa dan dalam sebulan akhir ini, ayahandanya tidak turun solat di masjid kerana keletihan.

Bagaimanapun jelasnya, Nik Abdul Aziz tetap dengan aktiviti biasanya di rumah iaitu berjalan, membaca dan berehat.

Pada Oktober tahun lalu, Nik Abdul Aziz menjadi mangsa khabar angin pihak tidak bertanggungjawab mengatakan beliau telah meninggal dunia.