PM Akan Melawat Manek Urai Pada 29 Januari Ini

KUALA LUMPUR – YAB Perdana Menteri akan melawat ‘ground zero’ di Manek Urai pada hari Khamis, 29 Januari 2015, bagi meninjau sendiri keadaan terkini di sana.

Pada penghujung Disember lalu, Manek Urai adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang dikenali sebagai Bah Kuning.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri bersama UMNO Bahagian Kuala Krai dan Kelab Putra 1 Malaysia sedang menyelaras aktiviti untuk lawatan tersebut,” jelas Datuk Hanafi Mamat, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada sokmo.net.

Datuk Hanafi Mamat, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.
Datuk Hanafi Mamat, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

“Antara aktivitinya termasuk ‘walkabout’ di Manek Urai dan pelancaran model rumah yang akan dibina dalam masa terdekat untuk mangsa yang kehilangan rumah sewaktu bencana itu,

“Datuk Seri Najib juga akan menyampaikan pelbagai bantuan berbentuk barangan keperluan kepada mangsa,” tambah Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Ini adalah lawatan ke empat YAB Perdana Menteri ke Kelantan sejak bencana Bah Kuning melanda pada penghujung 2014.