Kelantan Dalam Sejarah: Pelajar Mogok Bertempiaran Di Rotan Polis

Pada 17hb Mac 1958,  beberapa pelajar Sekolah Inggeris Kamil di Pasir Puteh, Kelantan, mogok membantah kelewatan Kementerian Pelajaran melaksanakan kelas aliran Melayu di sekolah mereka. Pihak sekolah telah memecat 2 pelajar sekolah tersebut yang di dakwa sebagai penghasut. Mogok pelajar itu dengan cepat merebak ke Kuala Krai dan Kota Bharu.

Di Kota Bharu, sekumpulan 45 orang pelajar dari Maktab Sultan Ismail (SIC) dan 40 orang pelajar dari Sekolah Menengah Zainab (ZS) meninggalkan kelas mereka sebaik loceng berbunyi pada jam 7.45 pagi.

Dengan berbasikal atau berjalan kaki, mereka beramai-ramai berkumpul secara aman di padang berhadapan Pejabat Pelajaran di Kota Bharu. Sambil membawa poster dan kain rentang, mereka menuntut perlaksanaan kelas aliran Melayu di sekolah-sekolah Inggeris. Beberapa pelajar dari sekolah-sekolah lain turut menyertai mereka, menjadikan jumlah pelajar mogok seramai 120 orang.

Mogok itu berterusan selama hampir 2 minggu.

Pada 30hb Mac, 1958, pihak polis pencegah rusuhan dipanggil untuk menamatkan mogok yang mula bertukar ganas. 50 orang anggota polis bersenjatakan rotan panjang telah menyerbu kumpulan pelajar mogok setelah arahan Ketua Polis Daerah Kota Bharu supaya mereka bersurai tidak diendahkan.

Para pelajar yang cuba melawan disebat dengan rotan. Ramai bertempiaran lari. Dua pelajar ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

“Padan muka!” kata Mohamed Khir Bin Johari, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu apabila ditanya reaksinya tentang tindakan polis pencegah rusuhan menyebat para pelajar dengan rotan, di padang berhadapan Pejabat Pelajaran di Kota Bharu.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

“Mereka disebat oleh sebab mereka jahat…” tambah Khir kepada para wartawan di Kuala Lumpur.

Kejadian polis pencegah rusuhan menyebat pelajar itu adalah merupakan kemuncak kepada mogok pelajar yang menyaksikan lebih 120 orang pelajar-pelajar lelaki dari Maktab Sultan Ismail (SIC) dan pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Zainab (ZS) bersama beberapa pelajar dari sekolah Inggeris dari Pasir Mas dan Pasir Puteh berkumpul menuntut Menteri Pelajaran turun bertemu mereka.

Para pelajar itu menuntut Khir Johari memberi jaminan secara berdepan tidak akan lagi menangguhkan permulaan kelas aliran Melayu di sekolah-sekolah mereka. Mereka juga menuntut Khir berjanji, kelas tersebut mencukupi untuk semua pelajar.

Khir Johari enggan melayan tuntutan itu.

Mohamad Khir Johari  (kiri), Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu.
Mohamad Khir Johari (kiri), Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu.

Para pelajar pada mulanya menjerit “Hidup Bahasa Melayu!”, “Kami mahu Bahasa Melayu” dan “Biar Menteri beri jaminan”.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Keadaan bertukar tegang bila Tuan D. Bennett, Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan tidak dapat menjamin Menteri Pelajaran dapat menunaikan dua permintaan tersebut. Bennett sebaliknya menasihatkan para pelajar kembali ke kelas mereka sebelum 7hb April 1958, atau berdepan dengan tindakan buang sekolah.

Ini mengakibatkan para pelajar berteriak “Kami tidak takut!”.

Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam usaha meredakan keadaan telah menghantar Pegawai Penerangan Negeri, Mohamed Kassan Bin Hassan untuk bertemu pelajar-pelajar mogok itu.

Mohamed Kassan memaklumkan bahawa Pemangku Menteri Besar Kelantan, Dato’ Syed Abdul Rahman menjemput para pelajar bertemu dengannya di dewan SIC pada jam tiga petang tersebut.

Pelajar-pelajar mogok sebaliknya menuntut Pemangku Menteri Besar itu datang menyertai mereka di padang.

Mohamed Kassan kemudiannya diusir dari padang itu oleh pelajar-pelajar yang mula menunjukkan sikap kasar.

Pelajar zs ikut mogok
Ehsan National Library Board Singapore.

Pasukan polis pencegah rusuhan telah dikerah pada jam tiga petang. Sejurus kemudian Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Yusoff Shah meminta pelajar-pelajar mogok itu bersurai dan tinggalkan padang tersebut.

Arahan itu tidak dipatuhi. Polis pencegah rusuhan dengan bersenjatakan rotan panjang bertindak menyuraikan mogok tersebut. Para pelajar yang engkar telah dirotan mengakibatkan mereka lari bertempiaran.

Pihak polis juga telah menahan dua pelajar.

Tindakan polis telah memulihkan keadaan. Dua pelajar yang ditahan, Ismail Bin Ahmad, 16, dari Sekolah Inggeris Sultan Ibrahim, dan Wan Saleh Bin Daud, 16, dari SIC didakwa di mahkamah pada esoknya, atas kesalahan terlibat di dalam perhimpunan haram. Kedua-dua mereka dibenarkan ikat jamin $100 setiap seorang.

Ikat jamin itu dibayar oleh Abu Bakar Bin Mohamed Alahmady, ahli Majlis Perbandaran dari PERIKATAN. Abu Bakar juga adalah Presiden Persatuan Pelajar Melayu Kelantan.

Pada 5hb April, hampir kesemua pelajar mogok dari SIC dan ZS telah kembali ke sekolah masing-masing. Seramai 50 pelajar mogok dari SIC telah disambut oleh Pengetua, Tuan Tara Singh. Mereka telah membuat permohonan maaf kepada Tara kerana tindakan mereka ponteng sekolah dan mogok.

Mogok pelajar ditangkap 1
Ehsan National Library Board Singapore.

Selain itu, para pelajar terbabit juga berjanji untuk mematuhi arahan sekolah di masa akan datang, dan bersedia belajar di dalam aliran Inggeris sekiranya jika tempat tidak mencukupi di dalam kelas aliran Melayu.

Para pelajar yang tidak kembali ke sekolah sebelum 7hb April 1958 telah dianggap tersingkir dari sekolah.

Alasan pelajar mogok Bahasa Melayu akan mati jika tidak dilaksanakan kelas aliran Melayu di sekolah Inggeris dianggap sebagai tidak masuk akal oleh sesetengah pihak.

Seorang pembaca The Straits Times, Endon Bte Ismail menulis kepada akhbar itu,

“Pada pandangan saya, pelajar-pelajar ini telah bertindak keterlaluan. Anggapan mereka bahawa ‘Bahasa Melayu akan mati’ adalah tidak menasabah.

“Bahasa Melayu tidak akan mati begitu mudah. Bahasa ini pertuturkan dengan meluas oleh segenap lapisan masyarakat dan keturunan.

“Saya juga Melayu, dan saya bangga menjadi Melayu. Tetapi berilah peluang pihak berkuasa mencuba yang difikirkan baik, usah terlalu mementingkan diri sendiri,

“Kamu tahu kamu kena belajar aliran Inggeris apabila kamu mendaftar di sekolah Inggeris. Kalau kamu tidak suka aliran Inggeris, tukar sekolah dan masuklah ke sekolah Melayu,” tulis Endon lagi, mengakhiri suratnya kepada pengarang The Straits Times.

Akhbar yang sama mendakwa, tindakan mogok oleh pelajar sekolah-sekolah aliran Inggeris ini di dalangi oleh Pan Malayan Malay Teachers Union yang diketuai oleh Mohamed Noor Bin Ahmad.

Mohamed Noor tiba di Kelantan beberapa hari selepas mogok tercetus, dan diberikan sambutan VIP di lapangan terbang Pengkalan Chepa. Selama seminggu, dia berucap di perhimpunan-perhimpunan pelajar di Kelantan dan menjelaskan pendirian pertubuhan guru itu dalam isu kelas aliran Melayu di sekolah-sekolah Inggeris.

Sultan Ismail College
Ehsan National Library Board Singapore.

Sementara itu, Menteri Pelajaran yang dikecam pelajar mogok, mengelak dari ke Kota Bharu.

“Saya tidak bersedia ke Kota Bharu bercakap dengan pelajar-pelajar,” Khir dipetik oleh The Straits Times.

“Mereka telah dijanjikan kelas aliran Melayu akan bermula pada bulan Mei. Tidak perlu saya pergi semata-mata untuk ulangi janji ini.

“Jika pelajar-pelajar Melayu ini mahu buat kacau macam pelajar-pelajar sekolah Cina, mereka akan dilayan sama seperti pengacau di sekolah Cina,” tegas Khir, merujuk kepada insiden kekacauan oleh pelajar-pelajar sekolah Cina sebelum ini.

“Kerajaan tidak peduli, mereka Melayu atau Cina, atau bangsa lain. Kita tidak bertolak ansur dengan pembuat kacau.

“Kita mahu pelajar yang hendak belajar, kita tidak perlu pelajar yang mahu buat kacau,” akhiri Khir.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.