Kelantan Dalam Sejarah: Wira-Wira Selamatkan Gua Musang Dari Komunis Perak

Pada 13 Januari 2015, Sokmo.Net menyiarkan artikel bertajuk Republik Komunis Gua Musang. Artikel kali ini menceritakan bagaimana perajurit-perajurit negara berkorban nyawa memastikan Gua Musang tidak kekal lama di bawah penguasaan pengganas komunis yang kebanyakkannya berasal dari Perak.

Sebulan selepas darurat 1948 diisytiharkan, segerombolan pengganas komunis lengkap bersenjata telah menawan pekan Gua Musang dan mengisytiharkannya sebagai ‘kawasan bebas’.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Terletak di sempadan antara Kelantan dengan Pahang, pekan itu mempunyai penduduk kira-kira 1,000 orang.

Kebanyakan mereka pekedai-pekedai Cina yang menjual bahan-bahan makanan kepada penduduk-penduduk dan penoreh-penoreh getah yang berselerak di kawasan seluas 20 batu.

Di antara yang mendiami di daerah itu ialah penduduk-penduduk Cina kampung Pulai di sebelah timur, dan orang-orang Melayu dari kampung Mentara dan Merapoh, di selatan.

Balai Polis Gua Musang terletak di bangunan usang perhentian keretapi dan diketuai seorang inspektor Melayu. Manakala sebuah dispensari kerajaan dikelolai seorang India terletak di tepi jalan.

Keputusan menawan Gua Musang telah diambil oleh segerombolan komunis Cina dari Perak yang telah menyeberangi Kelantan, awal bulan Julai 1948 dengan menggunakan jalan yang dilalui mereka sewaktu pendudukan Jepun.

Setelah mengadakan perhubungan dengan komunis Pulai, komunis Perak kemudian memasuki Gua Musang dan mengambil alih dispensari kerajaan, dan dijadikan markas mereka.

Seorang penghulu Cina dari Pulai dipaksa menjadi talibarut untuk mengumpan inspektor polis ke dalam perangkap komunis.

Awal pagi, 17hb Julai 1948, penghulu itu mengetuk pintu rumah inspektor dan memberitahu bahawa dia diperlukan di dispensari dengan segera.

Kira-kira jam 5 pagi, Inspektor Melayu tiba di dispensari. Inspektor itu ditawan dan senjatanya dirampas.

Inspektor itu dijadikan tebusan dan di arah membawa beberapa pengganas komunis ke balai. Beliau bersetuju.

Bagaimanapun sebelum tiba di balai, inspektor itu melepaskan diri. Pengganas komunis melepaskan tembakan tetapi dia berjaya mengelak dan berlari ke arah balai sambil menjerit memberitahu anggota-anggota yang bertugas bahawa mereka telah diserang komunis.

Pada jam 5.30 pagi, bermula tembak menembak di antara pihak polis dan pengganas komunis tadi. Ia berlarutan untuk beberapa jam sehinggalah pasukan polis kehabisan bekalan peluru. Balai itu jatuh ke tangan pengganas dan semua anggota polis diambil sebagai tebusan.

Lolos

Sewaktu tembak menembak mula tercetus, seorang mata-mata polis sedang mandi di Sungai Galas.

Menyedari balai itu telah diserang pengganas, tanpa membuang masa dia membuat rakit dan menggunakan sungai itu untuk ke Bertam.

Setelah membuat laporan di balai polis Bertam, dia menaiki bot ke hilir menuju ke ibu pejabat polis daerah Kuala Krai.

Pihak di Kuala Krai segera menghantar laporan ke Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Kuala Lipis. Esoknya pasukan polis dari Bertam di arahkan berundur ke Kuala Krai, kerana dikuatitri akan turut diserang komunis.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Serang Hendap

Pemimpin-pemimpin komunis yang menawan Gua Musang telah mendapat latihan ketenteraan oleh Force 136 sewaktu Perang Dunia Ke dua.

Antara modus operandi gerakan gerila yang diajar oleh Force 136 ialah menawan balai-balai polis terpencil sebagai umpan. Mereka kemudian akan menunggu untuk menyerang hendap pasukan bantuan yang datang bagi merampas senjata dan lain-lain bekalan.

Kerana kedudukan Gua Musang bantuan akan datang dari Kuala Lipis dan Kuala Krai. Pengganas komunis menyusun serang hendap di dua kawasan.

Posisi serang hendap pertama ialah 40 kilometer ke selatan, di atas bukit mengadap lintasan keretapi dekat jambatan Sungai Yu. Di sini mereka menanti pasukan bantuan dari Kuala Lipis.

Sasaran kedua ialah 40 kilometer ke utara, di tebing tempat bot berlabuh di Bertam. Hanya ini laluan yang boleh digunakan untuk menghantar bantuan segera ke Gua Musang dari Kuala Krai.

Pasukan Bantuan dari Kuala Lipis

Apabila Ketua Pegawai Polis Pahang menerima laporan dari Kuala Krai, beliau segera memaklumkan kepada batalion ke dua Rejimen Askar Melayu yang berpengkalan di Kuala Lipis.

Malay_Regiment_operatives_1949

Mejar R. Henderson, Ketua C Company batalion ke dua Askar Melayu mengetuai sendiri pasukan peninjau yang segera bergerak ke Gua Musang.

Jeep yang membawa Henderson melintasi posisi serang hendap gerila komunis di Sungai Yu. Pengganas komunis bagaimanapun tidak bertindak. Mereka mahukan habuan lebih besar.

Tanpa sebarang halangan, Henderson tiba di pekan Gua Musang. Beliau mendapati kedai-kedai di situ dibuka seperti biasa.

“Tidak ada apa-apa di sini Encik,” ujar pekedai-pekedai Cina, dan Henderson kembali ke Kuala Lipis dengan laporan bahawa tiada kesan gerila komunis telah mengambil alih Gua Musang.

Police_in_Malayan_Emergency

Bagaimanapun, usaha Henderson tidak berakhir di situ. Dua hari kemudian, Henderson yang masih tidak berpuas hati, memutuskan untuk menyiasat dengan lebih menyeluruh.

Kali ini beliau membawa pasukan peninjau yang lebih besar dengan diiringi oleh 3 buah trak tentera lengkap dengan askar-askar dan anggota polis.

Pasukan yang diketuai Henderson hanya berbekalkan ration makanan tengahari, 30 round peluru setiap seorang serta dua Bren Gun, dan tanpa bom tangan.

Jeep yang membawa Henderson berada di belakang trak pertama. Kesemua trak tidak bertutup.

Duduk di depan salah satu trak itu ialah Wan Abdul Rahman, penjaga wireless. Beliau menerima arahan untuk menghantar laporan ke Kuala Lipis setiap 30 minit.

Pada jam 12.55 tengahari, trak yang membawa Abdul Rahman melintasi kawasan posisi serang hendap Sungai Yu, di mana gerila komunis seramai 40 orang menanti mereka.

Tiada Berita

Di markas Batalion ke dua Rejimen Askar Melayu, Kapten Taib, pegawai pemerintah C Company mendapati tiada laporan diterima dari Abdul Rahman, sedangkan unit-unit lain menghantar laporan seperti diarahkan, setiap 30 minit.

Usaha Taib untuk menghubungi Abdul Rahman tetapi gagal.

Apabila jeep yang membawa Mejar Henderson tiba di lembah mengadap lintasan keretapi berdekatan jambatan Sungai Yu, mereka melihat trak yang dinaiki oleh Abdul Rahman tidak bergerak.

Jeep Henderson dan dua trak lagi menghampiri trak tersebut dan mendapati trak Wan Abdul Rahman dan Prebet Mat Johor yang berada di dalam trak itu telah terkorban. Platon Sarjan Osman, Prebet Ghani bin Kassim dan pemandu trak pertama pula berlindung di bawah trak.

Henderson dan anggota-anggotanya kini berada ditengah-tengah sasaran gerila-gerila komunis.

Mereka diserang dengan tembakan dari atas bukit.

Jeep Henderson menjadi sasaran mudah. Prebet Nazri yang berada di dalam jeep itu terkorban serta merta. Pemandu Jeep, Prebet Mohd Radzi dan Koperal Ismail pula tercedera.

Anggota-anggota tentera di dalam trak-trak lain berjaya merangkak mencari perlindungan.

Abdul Ghani

Lance Koperal Abdul Ghani bin Raof, yang berada di hadapan trak ke dua berjaya berlindung berdekatan rusuk kiri lintasan keretapi.

Mereka yang terselamat terus diasak dengan tembakan oleh gerila-gerila komunis selama 3 jam.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Menjelang senja pasukan Askar Melayu mendapati mereka sudah hampir kehabisan peluru.

Lance Koperal Abdul Ghani membuat keputusan meninggalkan tempat perlindungan dan merangkak menuju ke trak pertama, di mana Sarjan Osman terperangkap

Abdul Ghani mendapati ketiga-tiga mereka cedera dan tidak upaya bergerak. Abdul Ghani juga dapat melihat jeep Mejar Henderson di hadapannya, tetapi tidak sebarang pergerakan manusia di situ.

“Saya pekik sekuat-kuat hati, Tuan! Tuan!” ingati Abdul Ghani.

“Suara saya itu dijawab oleh komunis-komunis yang masih dalam posisi serang hendap.

“Tuan sudah mati! Baiklah serah diri!” teriak komunis-komunis itu kepada Abdul Ghani.

“Saya dan perajurit-perajurit lainnya menjawab, tidak, tidak, kami tidak akan serah diri,” kata Abdul Ghani.

Abdul Ghani dan beberapa anggota Askar Melayu yang masih hidup kemudian melepaskan tembakan ke arah suara-suara komunis yang mengejek mereka.

“Saya pun beritahu Sarjan Osman, saya mahu ketiga-tiga trak itu diundurkan jauh dari sasaran serang hendap.

“Sarjan Osman bersetuju,” kata Abdul Ghani.

Abdul Ghani kemudian memerintahkan dua perajurit yang membawa Bren Gun untuk menembak ke atas bukit.

“Saya mahu supaya komunis-komunis itu tidak dapat menembak kami bila trak-trak itu berundur dari tempatnya,” jelas Abdul Ghani.

Abdul Ghani kemudian mengheret Sarjan Osman dan Prebet Ghani ke trak. Beliau juga berjaya menarik jenazah perajurit Wan Abdul Rahman.

“Trak itu cermin pecah kena peluru, mujur enjin dan tayarnya tak apa-apa,” ujar Abdul Ghani.

Berkat kecekalan Abdul Ghani dan anggota-anggota yang lain, sebelum matahari terbenam, kesemua anggota berjaya dibawa keluar ke tempat selamat.

Jika tidak kerana kemampuan Abdul Ghani berfikir dengan baik di dalam keadaan diserang hendap itu, sudah tentu lebih ramai yang terkorban.

Bertam

Sementara itu, pasukan bantuan dari Kota Bharu turut digerakkan ke Gua Musang. Ia di ketuai oleh Ketua Siasatan Jenayah Kelantan, David Yates. Pasukan itu terdiri daripada pihak Askar Melayu dan anggota polis.

hqdefault

Dari Kuala Krai, pasukan bantuan itu mudik dengan bot ke Bertam.

Gerila-gerila komunis yang menaiki bas dari Gua Musang sudah bersedia menanti untuk menyerang hendap apabila pasukan itu berlabuh di pengkalan bot.

Orang-orang Melayu tempatan yang melihat pengganas komunis memasuki kampung mereka, telah mendapatkan perlindungan di dalam masjid.
Apabila kedengaran bunyi enjin bot pasukan bantuan yang di ketuai David Yates menghampiri tempat berlabuh di Bertam, penduduk-penduduk Melayu di situ menyedari Yates dan pasukannya akan masuk ke dalam perangkap komunis.

Pada waktu yang sama, pesawat R.A.F melancarkan operasi mengebom posisi komunis di sekitar Gua Musang.

Telah berlaku kesilapan dan juruterbang R.A.F telah melepaskan tembakan ke arah masjid mengakibatkan keadaan menjadi huru-hara.

Gerila-gerila komunis telah keluar dari posisi serang hendap dan di dalam keadaan panik, berundur dari Bertam.

Apabila Yates berlabuh, dia dan anggota-anggota bersamanya mendapati ramai orang-orang kampung keturunan Melayu terbunuh dan tercedera di dalam masjid.

Mereka memberi bantuan kepada orang-orang kampung itu, sebelum menggerakkan pasukan bantuan ke Gua Musang.

Prebet Radzi

Prebet Mohd Radzi, pemandu jeep Mejar Henderson, berpura-pura mati bila badannya diperiksa oleh gerila komunis setelah C Company Batalion ke dua Rejimen Askar Melayu berundur dari Sungai Yu.

Apabila malam tiba, Radzi yang cedera telah merangkak untuk mencari perlindungan di dalam belukar berdekatan.

Apabila siang, Radzi telah bersembunyi di dalam paya, 200 meter dari tempat jeep yang dipandunya di serang hendap. Menurut Radzi, beliau cuba meminta pertolongan dari orang kampung yang melintasi kawasan tersebut. Tetapi tiada siapa berani membantunya.

Radzi ditemui lapan hari selepas diserang hendap oleh Pasukan yang diketuai oleh David Yates, Ketua CID Kelantan setelah mendapat maklumat dari orang-orang kampung bahawa ada askar Melayu yang masih hidup di Sungai Yu.

Ketika di temui, Radzi di dalam keadaan kebuluran dan hanya minum dari air paya.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Pasukan yang sama juga menemui mayat Mejar Henderson. Henderson dan Prebet Nazri terbunuh serta merta di awal serang hendap. Prebet Radzi pula ditembak di bahu kanan dan lutut kiri.

Koperal Ismail

Koperal Ismail, yang turut menaiki jeep bersama Radzi ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan lebam akibat lama berendam air.

Ketika serangan hendap, Radzi telah terkena tembakan di lengan. Beliau kemudian bersembunyi di belukar, sebelum merangkap ke Sungai Yu bila keadaan telah reda. Dari Sungai Yu, Radzi telah dibawa arus.

Dengan penemuan Koperal Ismail, angka rasmi yang terbunuh di dalam serang hendap di Sungai Yu ialah empat perajurit.

Nota:

Mejar Raymond Henderson merupakan pegawai pertama Rejimen Askar Melayu yang terkorban dibunuh pengganas komunis. Dia disemadikan di Kuala Lipis. Henderson tidak meninggalkan waris, kerana anak dan isterinya dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di London sebelum Henderson sendiri menemui ajalnya.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Lance Koperal Abdul Ghani telah di naikkan pangkat sebagai Sarjan ketika ditemubual oleh penulis.

Artikel di atas ditulis semula berdasarkan tulisan Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, di dalam Berita Harian, 19 November 1969. Beberapa perubahan dibuat kepada gaya bahasa dan penceritaan bagi disesuaikan untuk bacaan masa kini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.