Bimbang Melayu Tersisih Di Bumi Sendiri

KOTA BHARU – Umat Islam, orang Melayu diseru supaya bersatu bagi memastikan kekuatan kaum itu kekal relevan di tanah air sendiri.

Seruan itu dibuat Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan selepas menyedari kekuatan tersebut kian terhakis akibat perpecahan sesama sendiri.

Yang Dipertuanya, Asri Ali berkata, orang Melayu harus berasa bimbang situasi itu kelak boleh menyebabkan mereka tersisih di bumi sendiri.

“Orang Melayu harus sedar akan bahaya situasi ini dan kita amat bimbang perubahan ini membuatkan orang Melayu akan terpinggir di bumi sendiri.

“Dan ini tidak mustahil kerana apabila kekuatan telah terhakis dengan sendiri kita (orang Melayu) mudah diperalatkan,” katanya ditemui di sini lewat malam tadi.

Asri berkata, kejadian banjir luar biasa yang melanda negeri ini akhir Disember lalu merupakan mesej dari maha pencipta supaya umat Islam bersatu tanpa mengira ideologi atau latar belakang kehidupan.

“Kalau tidak bersatu, tidak ada kerjasama antara semua pihak tidak mungkin kesan ‘bah kuning’ yang memusnahkan segala harta benda rakyat baru-baru ini dapat dikendalikan dengan baik dan sempurna secara drastik,” katanya.

Tambahnya, kegagalan orang Melayu menentukan hala tuju bangsa dengan semangat ‘kebersatuan’ menyebabkan mereka akan tersisih dari segala aspek lebih-lebih lagi dalam era dunia tanpa sempadan pada masa kini.

“Kita harus mengambil iktibar peristiwa sejarah semasa berdepan dengan ancaman Malayan Union dahulu, walaupun orang Melayu masih lagi dijajah tetapi oleh kerana semangat ‘kebersatuan ‘ itu akhirnya British akur,” katanya.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya kini orang Melayu bangkit dan bersatu mempertahankan nasib bangsa daripada ancaman yang dibawa kelompok tertentu terutama dari kalangan bangsa Melayu sendiri.