Pilihan Raya PBT: Nik Abduh Selar DAP Tidak Adil

KOTA BHARU – Isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) terus menyaksikan hubungan PAS – DAP semakin tegang.

Pemimpin PAS terus menyelar DAP dengan menyifatkan parti itu sebagai tidak adil.

Anggota Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, adalah tidak adil apabila DAP sahaja yang memperjuangkan dasar partinya itu namun, dalam masa sama menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II (Hudud) di Kelantan.

“Soal sekarang, ketika PAS mengambil sikap sama di Kelantan, mengapa PAS dikata mencabul kesepakatan dalam PR (Pakatan Rakyat).

“Jika Pulau Pinang berjaya mengadakan pilihan raya PBT, adakah PAS akan menganggap ia mencabul PR.

“Boleh DAP terima kami di Kelantan jika begitu? Bertindak demokratik la bro…,” katanya dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan DAP yang memperjuangkan pilihan raya PBT boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei.

Hubungan PAS – DAP dalam sekutu pakatan pembangkang mula menyaksikan titik ketegangan apabila DAP secara terbuka menentang pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS.