Lagenda Kelantan: Puteri Saadong, Pengorbanan Seorang Wanita

“Tidaklah kemahiran patik mengubati penyakit ini,

“Tetapi jika Tuanku menghormati maruah patik sebagai permaisuri kepada Raja Abdullah, dan berjanji mengembalikan patik kepada baginda suami patik sesembuhnya Tuanku,

“Maka patik akan merawat Tuanku semampu patik sehingga terpisah kesakitan ini dari tubuh Tuanku,”

Setiap seorang anak Kelantan, pasti pernah mendengar nama Puteri Saadong. Kisah yang diwarisi zaman berzaman, dari mulut ke mulut dengan pelbagai versi.

Kisah Puteri Saadong yang dirakamkan ini, adalah gabungan beberapa versi popular rakyat Kelantan. Sebuah kisah pengorbanan seorang wanita untuk tanah airnya. Rela makan hati dan terseksa asalkan rakyatnya aman bahagia.

Mengikut cerita, Puteri Saadong anak kepada Raja Loyar dari Kerajaan Jembal. Sebagai tanda persahabatan, Puteri Saadong telah diserahkan kepada Wan Kembang, pemerintah Kerajaan Chinta Wangsa.

Wan Kembang, atau lebih dikenali dengan panggilan Che Siti telah menjadikan Puteri Saadong sebagai anak angkatnya.

Bila dewasa, kejelitaan Puteri Saadong menjadi bualan meluas sehinggalah ianya jatuh ke telinga Raja Siam yang telah menghantar pinangan untuk menyunting puteri itu. Bagaimanapun pinangan itu telah ditolak oleh Che Siti dan Raja Loyar.

Terhina dengan penolakan itu, Raja Siam mengambil keputusan menggunakan kekuatan tenteranya ke atas Kerajaan Chinta Wangsa dan Kerajaan Jembal.

Bagi menyelamatkan Puteri Saadong, Che Siti dan Raja Loyar bersepakat mengawinkannya dengan sepupunya yang bernama Raja Abdullah di dalam istiadat yang penuh gilang gemilang.

Raja Abdullah dan isterinya di anugerahkan sebuah jajahan bernama Jelasin yang dijadikan sebuah negeri dan mereka dimasyhurkan sebagai pemerintah. Ada juga hikayat yang menyebut nama negeri itu ialah Kota Mahligai, wujudnya di antara Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Walaupun mengetahui bahawa Puteri Saadong kini sudah menjadi permaisuri kepada Raja Abdullah, ia sedikitpun tidak menghalang Raja Siam untuk meneruskan keinginannya memiliki puteri jelita itu.

Rombongan Raja Siam yang diwakili oleh pembesar-pembesar negerinya, sami-sami buddha dan hulubalang-hulubalangnya akhirnya tiba di Jelasin. Mereka telah mengadap Raja Abdullah menyampaikan perutusan Raja Siam menitah diserahkan Puteri Saadong.

‘Kita tidak akan sesekali berpisah dengan permaisuri kita,” titah Raja Abdullah kepada utusan tersebut.

Maka esoknya, hulubalang-hulubalang Raja Siam telah menyerang Jelasin dengan niat untuk merampas Puteri Saadong dari Raja Abdullah dan dibawa belayar ke Siam.

Raja Abdullah telah menitahkan supaya seluruh rakyatnya mempertahankan negeri itu. Tercetuslah pertumpahan darah pada skala yang tidak pernah dilihat di negeri yang baru sahaja wujud itu.

Hulubalang-hulubalang dari Siam terpaksa berundur.

Apabila keadaan reda, Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah berangkat melihat sendiri musibah yang melanda negeri mereka. Puteri Saadong sungguh tertekan perasaannya bila melihat ramai rakyat terkorban. Isteri-isteri kematian suami, dan ibu-ibu kehilangan anak-anak lelaki mereka.

Tidak lama selepas itu, sampai perkhabaran bahawa hulubalang-hulubalang Siam telah bersedia untuk menyerang bagi gelombang kedua dengan kekuatan tentera yang lebih besar dan kelengkapan perang yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh kerajaan-kerajaan di Kelantan ketika itu.

Melihat kegelisahan rakyatnya dan juga kerisauan suaminya terhadap musibah baru yang akan melanda negeri mereka, Puteri Saadong akhirnya bertitah supaya dia diserahkan kepada Raja Siam dengan syarat suaminya dan rakyat negeri Jelasin tidak akan diusik bahkan akan dinaungi dari sebarang ancaman oleh Raja Siam.

Dihikayatkan, Raja Abdullah tanpa berfikir panjang telah bersetuju bahawa hanya itu sahaja jalan keluar terbaik lalu segera menghantar utusan kepada hulubalang-hulubalang Siam.

Berbekalkan linangan airmata dan hati yang hancur, Puteri Saadong tabahkan dirinya belayar ke Negeri Siam.

Keberangkatan tiba Puteri Saadong ke Negeri Siam telah diraikan dengan penuh meriah. Bagaimanapun, sebaik Puteri Saadong menjejakkan kakinya di istana barunya itu, Raja Siam jatuh gering.

Setelah beberapa hari berlalu, Raja Siam yang tidak sembuh-sembuh telah menitahkan supaya dia diusung ke kamar Puteri Saadong.

Keberangkatan Raja Siam disambut Puteri Saadong dengan hormat dan bermaruah.

“Patik lihat ada kudis di dada Tuanku, sudah lamakah Tuanku mengidapinya?” tanya Tuan Puteri itu.

“Ya,” jawab Raja Siam yang menjelaskan penyakitnya itu mula muncul pada hari keberangkatan tiba Puteri Saadong.

“Walaupun kecil, tapi sungguh bisa. Kerana bisa yang tidak mampu beta tanggung, tidak dapatlah kita bertemu lebih awal seperti keinginan beta,” titah Raja Siam.

Bahkan, lebih lama Raja Siam bersama Puteri Saadong, bertambah berdenyut-denyut sakitnya hingga hampir hilang kewarasaan baginda menahannya. Lalu disebabkan tidak tertahan lagi, baginda terpaksa meninggalkan kamar itu.

Pelbagai bomoh dan tabit dipanggil mengadap untuk merawat baginda, tetapi semakin lama, semakin merebak kudis-kudis kecil itu. Kesakitan itu amat sangat kuatnya, dan bertambah-tambah lagi bila baginda menghampiri Puteri Saadong.

Melihat kegeringan baginda mula menjejaskan pemerintahan Kerajaan Siam, ketua sami mengadap Raja Siam dan menawarkan pandangannya. Setelah bersujud sembah dan memohon diampunkan segala yang akan dituturkan, ketua sami itu menawarkan pandangannya.

Pada firasat ketua sami itu, geringnya baginda ada kaitan dengan kehadiran Puteri Saadong ke tanah Siam dan menasihatkan baginda menitahkan supaya Puteri Saadong mengadap dan mendengar pandangan tuan puteri tentang penyakit yang dialaminya itu.

Maka atas titah baginda, Puteri Saadong dibawa mengadap. Seperti sebelum-sebelumnya, bertambah-tambah sakit baginda bila berada hampir dengan tuan puteri itu.

Bertanyalah baginda Raja Siam kepada Puteri Saadong, adakah musibah yang dialaminya itu adalah atas angkara Puteri Saadong.

“Ampunkan patik tetapi pada firasat patik, musibah ini, adalah angkara perbuatan Tuanku sendiri,” kata Puteri Saadong.

“Manakan patik berdendam, atau berniat jahat kepada Tuanku, kerana kehadiran patik atas pilihan dan persetujuan patik sendiri,

“Tetapi hati patik remuk dan hancur mengenangkan kekanda patik yang ditinggalkan bersama rakyat patik yang tidak keruan menanggung derita akibat perbuatan hulubalang Tuanku.

“Manakan patik mampu berperasaan tidak baik pada Tuanku, sedangkan jiwa raga patik, dan segala perasaan patik, telah berkubur sebaik melangkah meninggalkan negeri patik.

“Patik yang hadir pada tuanku, hanya sekujur jasad tidak berperasaan lagi,” luah Puteri Saadong.

Mendengar bait-bait kata Tuan Puteri yang bersimpuh di lantai itu, bercampurlah airmata yang mengalir kerana menahan kesakitan dengan airmata menahan kesedihan di pipi Raja Siam.

“Tidaklah kemahiran patik mengubati penyakit ini,

“Tetapi jika Tuanku menghormati maruah patik sebagai permaisuri kepada Raja Abdullah, dan berjanji mengembalikan patik kepada baginda suami patik, sesembuhnya Tuanku,

“Maka patik akan merawat Tuanku semampu patik sehingga terpisah kesakitan ini dari tubuh Tuanku,”

Mulai dari saat itu, Raja Siam diasuh oleh Puteri Saadong, dijaga makan minum, diberi ubat-ubat yang disediakan para tabit, dan dibersihkan kudis-kudis itu.

Lama kelamaan, kesihatan Raja Siam beransur-ansur pulih.

Maka dipanggilnya mengadap pembesar-pembesar negeri lalu dititahkan supaya disiapkan sebuah bahtera untuk membawa Puteri Saadong berangkat pulang ke Negeri Jelasin.

Apabila Raja Siam sudah sembuh, baginda tidak lagi berlengah untuk menunaikan janjinya. Sebagai tanda terima kasih baginda kepada Puteri Saadong, baginda menghadiahkan berpasang-pasang persalinan dari sutera, batu-batu permata dan barang-barang perhiasan dan pinggan mangkuk.

Belayarlah Puteri Saadong ke negeri tumpah darahnya.

Takkala bersama pengiring-pengirinya tiba di Jelasin, kegembiraan Puteri Saadong bertukar gusar seolah mendapat petanda bahawa kekecewaan baru akan menimpanya.

Terdapat beberapa versi yang menceritakan apa yang berlaku seterusnya. Tetapi semuanya menjurus kepada satu, iaitu kepulangan Puteri Saadong tidak disambut dengan hati yang tenang oleh suaminya Raja Abdullah.

Puteri Saadong mendapati Raja Abdullah sudah mempunyai pengganti dirinya, dan paling mengecewakan ialah dituduh berlaku curang oleh Raja Abdullah sendiri.

Tidak tahan penghinaan terhadap dirinya, sedangkan Puteri Saadong telah berkorban segala-galanya untuk suami dan negerinya, Puteri Saadong bangkit untuk mempertahankan maruah dan kali ini berjuang untuk nama baiknya sendiri.

Dihikayatkan berlaku pertengkaran di antara Raja Abdullah dan Puteri Saadong yang berakhir dengan Raja Abdullah terbunuh ditikam dengan cucuk sanggol.

Selepas peristiwa tersebut, Puteri Saadong meninggalkan tahta kerajaan Jelasin kepada adik iparnya, Raja Rahim.

Puteri Saadong dihikayatkan mengasingkan diri bersama pengiring-pengiring dan penjaganya yang bernama Awang Selamat di Bukit Marak, berdekatan dengan Bachok dan akhirnya ke Gunung Ayam berhampiran Sungai Nenggiri.

Sewaktu Puteri Saadong bersemayam di Bukit Marak, penduduk tempatan meriwayatkan sekiranya ada majlis kenduri kendara, maka penduduk-penduduk disitu akan meminjam pinggan-mangkuk yang ditemui di sebuah gua di bukit tersebut. Pinggan mangkuk itu dikatakan milik Puteri Saadong.

Seperti yang kita duga, pinggan mangkuk itu kemudiannya ada yang pecah dan ada yang tidak dikembalikan. Ini akhirnya membuat Puteri Saadong merajuk lalu pergi mengasingkan diri ke Gunung Ayam.

Mengikut hikayat, di Gunung Ayamlah Puteri Saadong akhirnya ghaib. Ada juga cerita-cerita turun temurun yang meriwayatkan bahawa Puteri Saadong dilihat muncul setiap kali sebelum musibah besar melanda Negeri Kelantan. Antaranya sebelum banjir besar 1926 dan juga sebelum Jepun memasuki Tanah Melayu.

Di dalam banyak sebab, lagenda Puteri Saadong mempunyai banyak persamaan dengan lagenda Mahsuri dan Laksamana Hang Tuah di dalam hikayat-hikayat Melayu. Pokok pangkalnya berkisar kepada soal fitnah dan kesetiaan.