Lim Guang Eng Mulut Celupar – Mustafa

KUALA LUMPUR – Pertikaman lidah PAS dan DAP terus menyaksikan episod tegang politik pakatan pembangkang yang dilihat hampir menuju kehancuran.

Kali ini, secara terbuka Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bermulut celupar dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diluluskan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Beliau mendakwa, Lim Guan Eng berbohong dan mencabar untuk bersemuka dengan Setiausaha Agung DAP itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya tidak pernah berbincang dengan Guan Eng atau dihubungi berkait dengan isu enakmen pilihan raya PBT sebelum enakmen itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2012.

“Tapi saya mengaku selepas beberapa hari enakmen itu diluluskan, beliau ada hubungi saya melalui telefon.

“Dia telefon saya, jika ada media yang meminta komen mengenainya, tolong komen yang positiflah, saya jawab, “Insya Allah,” kata Mustafa.

Mustafa menjawab tuduhan Lim bahawa beliau dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bercakap benar apabila menyatakan mereka tidak dimaklumkan mengenai enakmen pilihan raya PBT yang diluluskan kerajaan Pulau Pinang.

Mustafa berkata, panggilan telefon bukan meja rasmi bagi memutuskan sesuatu perkara apatah lagi dalam soal yang membabitkan polisi sesebuah organisasi atau parti.

“Jika Lim mentafsirkan panggilan telefon berkenaan sebagai tanda persetujuan PAS, beliau juga boleh mentafsirkan satu panggilan telefon kepada Lim untuk menjelaskan isu hudud dan tiada bantahan DAP sebagai satu persetujuan.

“Sebelum ini Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke turut dimaklumkan keputusan PAS dan diminta supaya dimaklumkan kepada Lim.

“Saya beritahu Lim mengenainya keputusan PAS, termasuk cadangan diadakan Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat mengenainya.

“Lim berkata, kalau boleh serahkan enakmen itu kepada Jawatankuasa Teknikal untuk mereka lihat dan apa selanjutnya patut dilakukan.

“Maknanya penyertaan kerajaan Kelantan dalam Jawatankuasa Teknikal itu dipersetujui oleh Lim dan DAP,” katanya.

Tegasnya, kenyataan kononnya PAS sudah menyokong pilihan raya PBT menerusi atau selepas menelefon beliau itu adalah tidak tepat.