Kelantan Dalam Sejarah: Geng Kapak Terbang Ala Kung Fu Hustle Di Kelantan (Bahagian 1)

Shanghai, China… tahun 1940 an. Kumpulan kapak bermaharaja lela. Puak samseng mengugut dan ‘katok-mengatok’ sesiapa sahaja untuk memperluaskan wilayah mereka. Ini adalah filem rekaan arahan dan lakonan Stephen Chow yang mencuit hati ramai rakyat Malaysia.

Tetapi di Kelantan, ia bukan cerita rekaan. Generasi dahulu mengenali Kelantan sebagai negeri kapak terbang, sehingga ada guru-guru dan kakitangan persekutuan yang dipindahkan ke Kelantan sanggup meletakkan jawatan.

Benarkah kapak terbang sinonim dengan Negeri Kelantan ? Atau, ia hanya propaganda untuk memburuk-burukkan Negeri Kelantan? Atau, ia adalah cerita yang direka oleh isteri yang takut suami mereka tertawan dengan kejelitaan dan kemesraan mek klate?

Sokmo.Net membuat kajian dan berikut adalah yang dilaporkan mengenai kapak terbang di Kelantan sejak merdeka.

Kung Fu Hustle, 2004 Arahan Stephen Chow.
Kung Fu Hustle, 2004 Arahan Stephen Chow.

Ismail Golok
Berita Harian 20hb Mac, 1958

Berita Harian telah mengadakan temuramah eksklusif dengan seorang bekas banduan yang terkenal dengan nama jolokan Ismail Golok. Dia telah dipenjara selama tiga tahun dan dibuang daerah kerana didapati bersalah mengetuai kumpulan samseng di Kelantan.

Pada tahun 1952, Ismail Golok yang membesar di Sungai Golok bersempadan dengan Rantau Panjang telah berpindah ke Kampung Sireh di Kota Bharu dan bekerja di Jabatan Kerja Raya (PWD waktu itu).

Nama Ismail Golok menjadi sebutan ramai kerana dia dikenali sebagai ketua kumpulan samseng terbesar di Kelantan pada waktu itu.

Ismail Golok telah diserang dengan kapak dari belakang ketika sedang minum dan telah tercetus pergaduhan besar. Menurut Ismail, dia tertangkap bila polis yang menyerbu tempat pergaduhan itu menemui kapak milik musuhnya di dalam genggaman Ismail.

“Kepala jahat yang menyerang saya telah tidak dikenakan apa-apa hukuman, kerana waktu kami ditangkap, kapak kechil yang dibuatnya untuk menyerang saya itu telah berada di tangan saya” kata Ismail di dalam temuramah itu.

“Apa yang diterima oleh saya di dalam penjara itulah menimbulkan keinsafan saya sehingga saya dapat menimbang antara baik dan buruk.

“Sebaik-baik saya tamat menjalani hukuman ini, saya telah berazam akan hidup secara kehidupan orang biasa. Jika dapat (saya mahu) buka kedai jahit atau sebarang perniagaan,” tambah Ismail Golok.

Penyamun Kapak
Berita Harian, 24hb April, 1958

Teksi yang melalui jalan Kota Bharu ke Pasir Mas dilaporkan sering menjadi serangan penyamun yang bersenjatakan kapak.

Pada hari raya puasa tahun berkenaan, seorang guru dan keluarganya menjjadi mangsa terbaharu. Teksi yang di naiki telah dibaling dengan batu sehingga pecah cermin dan terbabas. Mereka kemudiannya disamun.

Guru tersebut, Yusoff Ishak, isterinya dan anak lelaki mereka berusia 22 bulan telah mendapat kecederaan.

Pemandu teksi, Alias Wang memberitahu, dia hilang kawalan sehingga teksi itu masuk ke dalam parit dan mengalami kerosakan teruk.

Menurut pihak polis, tiga hari sebelumnya, seorang kanak-kanak telah terbunuh di dalam kejadian yang hampir serupa.

Berita Harian turut melaporkan pada hari yang sama, sekeping papan tanda telah dinaikkan di jalan antara Kota Bharu – Kuala Krai.

Papan tanda itu tercatat “Berjalan Perlahan2-Bahaya,”

Di kiri dan kanan papan tanda itu terdapat lukisan-lukisan kapak kecil.

Khutbah Jumaat – Hentikan ‘Katok Mengatok’
Berita Harian, 26hb April, 1960

Khatib menasihatkan dihapuskan tabiat ‘katok mengatok’ di dalam khutbah Jumaat, di Kelantan.

Imam Surau Gual To’Deh, Md. Zain Bin Haji Taib menyeru umat Islam di Kelantan menjauhkan diri dari pergaduhan sehingga menyebabkan ‘katok mengatok’ dengan kapak kechil dan kelewang seperti yang sering berlaku.

“Kebiasaan masyarakat menyelesaikan satu-satu perselisihan dengan ‘mengatok’ dan menyerang musohnya dengan kapak seharusnya dihapuskan segera.

“Menggunakan senjata-senjata itu tidak akan dapat menyelesaikan perselisihan yang terjadi.

“Untuk membina sebuah kampung dan seterusnya sebuah negeri yang aman dan bahagia, kita hendaklah menghentikan kebiasaan buruk itu sebagaimana yang terjadi di masa-masa lalu,” tambah imam itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai menghormati undang-undang.

Tak Mampu Bayar Sewa, Kapak Digunakan
Berita Harian, 25hb Mei, 1960

Pasukan polis pencegah rusuhan telah dikejarkan ke Gunung, 32 km dari Kota Bharu setelah menerima laporan seorang lelaki bersenjatakan parang telah menyerang dan membunuh seorang penanam padi.

Mangsa, Yusof Bin Haji Salleh sedang duduk di sebuah pondok apabila dia ditetak oleh pembunuh itu.

Tertuduh dipercayai seorang penyewa rumah yang telah lima bulan tertunggak bayaran sewanya, menurut Ketua Jabatan Pencegah Jenayah Kelantan, Hashim Bin Nanawi.

Tuan rumah berkenaan, seorang perempuan tua telah meminta tertuduh itu keluar dari rumah tersebut, apabila tertuduh enggan, tuan rumah telah menghantar lima orang lelaki untuk merobohkan rumah sewa itu.

Ketika lima lelaki itu sedang merobohkan rumah, mereka nampak tertuduh membawa sebilah parang dan mengamok.

Mangsa telah ditetak sehingga terputus kepalanya.

Lima lelaki itu berjaya menangkap tertuduh dan diserahkan kepada pihak polis.

Kapak Kecil Menjadi Jadi
Berita Harian, 18hb September, 1960

Kejadian kecurian dan kapak-mengapak semakin menjadi-jadi di kampung-kampung berdekatan sempadan dengan Siam, lapor Berita Harian.

Ahli-ahli kumpulan samseng dikatakan semakin yakin bahawa mereka dapat mengelak tangkapan pihak berkuasa.

Samseng-samseng itu mempunyai tempat perlindungan di sebelah wilayah Siam.

Samseng Kapak Kecil Jadi Baik
Berita Harian, 1hb Januari 1961

Berita Harian memetik tulisan di dalam majalah Pasukan Polis Diraja Malaysia yang melaporkan ahli-ahli kumpulan ‘Kapak Kecil’ di Kelantan kini telah mengubah cara hidup mereka.

Samseng-samseng kapak ini dikatakan memilih kehidupan aman seperti rakyat kebanyakan.

Ini berlaku setelah pihak polis mengambil tindakan terhadap ketua-ketua mereka dengan membuang daerah dan menghadkan pergerakan.

Tidak kurang juga yang telah lari ke Siam.

“Mereka sekarang bekerja sebagai penoreh getah, tukang jahit dan tukang baiki basikal.

“Misalnya, ketua salah satu kumpulan kapak ini sekarang bekerja sebagai mandur di sebuah ladang getah di Manek urai.

“Dulu namanya sangat ditakuti oleh penduduk di Kota Bharu,” jelas laporan tersebut.

Laporan itu juga menceritakan tentang seorang ahli kumpulan kapak bernama Awang Ular.

“Awang Ular telah dibataskan pergerakkannya di Tanah Merah dan Ayer Lanas selama tiga tahun, sekarang telah membuka tanah dan menanam getah dan tidak lagi mahu kembali ke kampung asalnya,” lapornya.

Seorang lagi ketua kumpulan kapak telah pulang ke Kota Bharu dan menjadi usahawan yang berjaya.

Menurut laporan tersebut, mereka itu sebelum ini mencari nafkah dengan mengambil upah ‘mengatok’ orang dengan kapak kecil, mencuri kerbau, memecah rumah dan melakukan lain-lain bentuk jenayah.

Ada juga yang menculik perempuan-perempuan yang sudah bersuami.

Laporan itu menyebut, mereka mendapat upah antara $5 ke $100 untuk ‘mengatok’ orang. Biasanya mereka mengapak kepala mangsa dari belakang di waktu malam.

Kumpulan ini amat cergas sebelum Jun 1957.

Tokoh Polis Tumpaskan Kumpulan Kapak Kecil
Berita Harian, 11hb Januari, 1961

Di dalam sebuah artikel khas Berita Harian melaporkan Mohamad Din Bin Mohammad Shariff sewaktu menjawat Ketua Polis Kelantan telah berjaya melesukan pergerakan kumpulan ‘Kapak Kecil’.

Menerusi tindakan tegas Penolong Komisioner Polis itu telah mengurangkan kejadian jenayah menggunakan kapak kecil yang suatu ketika berleluasa di Kelantan.

Jangan Kerana Cerita Kapak Orang Jadi Takut
Berita Harian, 6 Disember, 1961.

Melalui surat kepada pengarang, seorang penulis menggunakan nama pena ‘Hijau Muda’ meminta golongan ‘budayawan’ yang menulis tidak membesar-besarkan isu ‘katok mengatok’ di Kelantan.

“Budayawan memperkenalkan kepada pembaca apa yang dikatakan Kapak Kecil dan peristiwa-peristiwanya.

“Sebagai seorang yang sudah lama tinggal di Kelantan, saya tentu tahu hal itu.

“Mudah-mudahan peristiwa ini tidak jadi suatu propaganda pula untuk menakutkan orang,” tulis Hijau Muda.

Penulis melahirkan kekhuatirannya kelak Kelantan akan menjadi negeri paling ditakuti di Persekutuan Tanah Melayu.

Dengan sini dia mengingatkan ‘budayawan’ dan pegawai-pegawai Kerajaan supaya menjadikan dasar bekerja dengan jujur dan ikhlas amalan mereka.

Jurutera JKR Mangsa Kapak
Berita Harian, 10hb Nov 1965

Jurutera Bahagian Utara Kelantan, M. A de Silver, 40 tahun telah cedera parah di bahagian belakang kepalanya setelah diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Kejadian berlaku pukul 8.30 pagi ketika mangsa sedang keluar dari keretanya di kuarters JKR.

Polis percaya mangsa diserang dengan menggunakan kapak kecil.

Pegawai siasatan jenayah, Sarban Singh, mengesayaki de Silver di serang oleh anggota kumpulan samseng kapak kechil yang terkenal di Kelantan.

Motif serangan tidak dilaporkan.

Bersambung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.