Kelantan Dalam Sejarah: Bahagian 2 – Ahli Politik, Penarik Beca Kasanova Mula Bermain Kapak

Shanghai, China… tahun 1940 an. Kumpulan kapak bermaharaja lela. Puak samseng mengugut dan ‘katok-mengatok’ sesiapa sahaja untuk memperluaskan wilayah mereka. Ini adalah filem rekaan arahan dan lakonan Stephen Chow yang mencuit hati ramai rakyat Malaysia.

Tetapi di Kelantan, ia bukan cerita rekaan. Generasi dahulu mengenali Kelantan sebagai negeri kapak terbang, sehingga ada guru-guru dan kakitangan persekutuan yang dipindahkan ke Kelantan sanggup meletakkan jawatan.

Benarkah kapak terbang sinonim dengan Negeri Kelantan ? Atau, ia hanya propaganda untuk memburuk-burukkan Negeri Kelantan? Atau, ia adalah cerita yang direka oleh isteri yang takut suami mereka tertawan dengan kejelitaan dan kemesraan mek klate?

Sokmo.Net membuat kajian dan berikut adalah yang dilaporkan mengenai kapak terbang di Kelantan sejak merdeka.

Kung Fu Hustle, 2004 Arahan Stephen Chow.
Kung Fu Hustle, 2004 Arahan Stephen Chow.

Ops Kapak Dan Yankee
Berita Harian, 25hb Ogos, 1962

Polis Kelantan melancarkan operasi besar-besaran untuk membersihkan negeri itu daripada ancaman berterusan samseng-samseng kapak bungkus atau turut dikenali sebagai kapak Siam.

Tindakan pihak polis itu mendapat sokongan penuh daripada masyarakat terutamanya kerana kejadian ‘katok mengatok’ dan ‘mengapak kepala’ semakin hangat kebelakangan ini.

Sebahagian daripada operasi tersebut ialah mengawasi pemuda-pemuda ‘yankee’ yang berhimpun di perhentian bas dan kaki-kaki lima bandar Kota Bharu. Pihak polis telah mengeluarkan larangan berhimpun di tempat sedemikian.

Pemuda-pemuda ‘yankee’ ini sering melakukan perbuatan jahat dan mengganggu keamanan, menurut pihak polis.

Akibat daripada tindakan polis ini, pemuda-pemuda tersebut telah mula ditegah oleh ibubapa mereka dari memakai pakaian ‘yankee’.

Setakat ini pihak polis menganggap operasi ini berjaya dan berhasrat meluaskannya ke daerah-daerah lain.

Kerana Politik, Kapak Kecil Dieksport Ke Pahang
Berita Harian, 19hb Ogos 1962

Rapat umum pilihan raya Kuala Lipis di Tanjong Besar hampir menjadi medan pertumpahan darah bila penyokong PAS mengugut untuk mengatok penyokong PERIKATAN dengan kapak kecil.

Insiden tercetus bila pemimpin pemuda PAS, Yazid Ja’afar mengecam pemimpin PERIKATAN sebagai lidah bercabang di dalam ceramahnya.

Kecaman Yazid itu dibuat ketika berceramah menyokong calon PAS, Hussein Bin Hijau.

Akibatnya menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong PERIKATAN yang berada di sekitar kawasan rapat umum, lalu mereka menjerit marah.

Pekerja-pekerja pilihan raya PAS dari Kelantan dan Terengganu kemudian mengancam penyokong PERIKATAN dengan mengeluarkan kapak dan mengugut untuk ‘mengatok’ penyokong PERIKATAN.

Ini mengakibatkan berlaku perkelahian di kalangan 300 penyokong dari kedua-dua parti.

Akibatnya rapat umum itu telah terhenti sementara.

Orang ramai melihat kejadian itu memberitahu Berita Harian bahawa saat-saat itu amat mencemaskan dan tidak pernah mereka lihat sebelum ini.

Apabila keadaan kembali reda, rapat umum diteruskan semula dengan ucapan Timbalan Yang Dipertua PAS, Zulkifli bin Mohamed.

Zulkifli tidak membazir masa untuk terus mengecam tokoh-tokoh PERIKATAN.

Ini mengakibatkan keadaan kembali panas.

Tanjong Besar ialah kubu kuat PERIKATAN dan mempunyai seramai 1,300 orang pemilih berdaftar.

Dua Parah Kena ‘Katok’
Berita Harian, 21 Oktober, 1962

Dua orang lelaki dijumpai terbaring di jalan berhadapan dengan sebuah sekolah di Kota Bharu dengan kecederaan teruk di lengan.

Polis Kelantan mengenali mereka sebagai Ahmad Bin Saad, 40 tahun dan Mat Bin Abu Bakar, 38 tahun.

Polis menemui sebilah kapak yang berlumuran darah dan 10 bilah pisau dekat tempat kejadian.

Mangsa tersebut telah ditemui awal pagi oleh Nona M.E. Butler, guru besar Sekolah Menengah Zainab.

Angkara ‘Katok’, Polis Cari Empat Orang
Berita Harian, 2hb Mei, 1963

Polis Kelantan sedang mencari empat orang yang disyaki terlibat dalam dua kejadian ‘katok mengatok’ malam tadi, lapor Berita Harian.

Seorang penanam padi, Yahaya Bin Ya’akob, telah di serang dengan kapak di Kampung Kubang Kerian, 11 km dari Kota Bharu. Dia mengalami kecederaan di muka.

Di Kampung Pantai Sering, seorang nelayan, Man Bin Ahmad telah dihadang oleh tiga orang lelaki. Salah seorang dari mereka bagaimanapun telah ditikam dengan keris oleh Man dalam usaha mempertahankan diri.

Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pelayan Kena ‘Katok’ Oleh Penarik Beca Kasanova
Berita Harian, 28hb Oktober, 1963

Seorang pelayan perempuan berumur 23 tahun membawa pulang seorang penarik beca untuk bermalam di rumahnya tanpa menyangka dia akan ditimpa kejadian malang.

Mek Som Binti Abu Bakar dari Kampung Panji, dilihat pagi ini oleh penduduk kampung keluar dari rumah dalam keadaan bogel dan terhoyong-hayang dengan darah mengalir di mukanya.

Penarik beca berusia 30 tahun, menyamun barang-barang kemas bernilai $2,000 dan semua pakaian Mek Som. Penarik beca juga menyerang Mek Som dengan sebilah kapak.

Jiran-jiran Mek Som telah menghantarnya ke hospital. Keadaannya dilaporkan parah.

Menurut polis, Mek Som mengaku telah ditiduri penarik beca itu, sebelum diserang dan disamun.

Polis Kelantan sedang mencari penarik beca kasanova itu.

Seratus Penyokong PAS ‘Katok’ Dua Penyokong PERIKATAN
Berita Harian, 26hb April, 1964

Polis Kelantan telah menangkap 24 orang pada jam empat pagi tadi setelah penyokong PAS menyerang hendap lori PERIKATAN, di Pasir Tumboh, 11 km dari Kota Bharu.

Sementara itu, dua orang ahli parti komponen PERIKATAN telah dikejarkan ke hospital akibat cedera diserang penyokong PAS.

Mereka ialah Raja Sulaiman Bin Raja Mohamad, 21 tahun dan Zakaria Bin Haji Isa, 25 tahun.

Raja Sulaiman dilaporkan masih di dalam keadaan kritikal.

Zakaria yang sedang beransur pulih memberitahu Berita Harian, mereka diserang waktu dalam perjalanan pulang dengan lori dari rapat umum PERIKATAN di Kota Bharu.

Lori tersebut dipandu oleh Raja Sulaiman.

Menurut Zakaria, mereka diserang kira-kira 100 orang penyokong PAS pada kira-kira jam satu pagi.

Penyokong PAS itu bersenjatakan kapak kecil, parang dan batu-batu. Lori tersebut terbabas dan merempuh sebuah rumah.

Raja Sulaiman telah ‘dikatok’ dengan kapak di kepala dan lengannya. Zakaria pula ditikam dari belakang.

Penyokong-penyokong PAS kemudian menolak lori itu ke dalam parit.

Empat buah lori pasukan pencegah rusuhan telah tiba tidak lama selepas kejadian itu.

Pihak polis telah menahan 24 orang yang didapati memiliki senjata dan kesemua mereka akan didakwa di mahkamah pada esok hari.

Ibu Pejabat PERIKATAN di dalam kenyataannya melahirkan kekesalan terhadap tindakan tidak bertamadun itu.

Ahli Parlimen Terkorban Mangsa Kapak Kecil
Berita Harian, 4hb Julai, 1967

Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu ditemui oleh seorang mata-mata polis tengah malam semalam dalam keadaan berdarah di belakang kepala. Dia telah diserang dengan kapak di Jalan Pasar Hulu ketika hendak memasuki keretanya.

Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji, 32 tahun meninggal dunia di Hospital, pada jam enam pagi.

Pihak polis menemui sebilah kapak kecil tidak jauh dari tempat kejadian. Terdapat kesan darah dan beberapa helai rambut, pada kapak tersebut. (Kisah lanjut di sini).

Pilihanraya Kecil Kelantan Hilir, 12 Orang Ditangkap
Berita Harian, 21hb Oktober, 1967

Polis telah menahan 12 orang di Kampung Badang awal pagi tadi kerana mempunyai senjata merbahaya.

Pihak polis menerima aduan pada jam 2.30 pagi mengenai sekumpulan orang-orang bersenjatakan kayu sedang berkumpul.

Dua buah Land Rover yang membawa polis hutan segera berkejar ke situ.

Di dalam perjalanan, mereka menahan sebuah van yang membawa 12 orang lelaki. Pihak polis juga menemui sebilah kapak kecil.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang sedang rangka kempen pilihanraya di Kelantan mendakwa PAS menggunakan orang-orang jahat dan samseng-samseng untuk mengugut ‘katok’ dan bakar rumah pengundi yang menyokong PERIKATAN.

Tun Razak menyeru pengundi tidak bimbang dengan tindakan samseng parti PAS. Beliau berkata pihak polis akan menangkap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira jawatan dan kedudukannya.

Tun Razak berucap di Kampung Pauh dekat Pengkalan Chepa.

ADUN PAS Ditahan Miliki Senjata
Berita Harian, 24hb Mac, 1968

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan dari PAS telah ditangkap hari ini kerana memiliki senjata merbahaya dalam satu serbuan polis, awal pagi tadi di Kampung Beklam, 37 km dari Kota Bharu.

ADUN tersebut, Haji Othman Bin Haji Ismail, 59 tahun adalah ahli Dewan Undangan Negeri Bachok.

Menurut Ketua Pegawai Polis Kelantan, Tajuddin Bin Haji Ahmad, polis telah bertindak berdasarkan maklumat bahawa kekacauan akan berlaku dalam kampung itu yang terletak dalam kawasan pilihan raya Bachok Utara.

Pihak polis menahan sebuah kereta pada pukul 12.45 tengah malam di Jalan Penggawa dekat kampung itu.

Polis telah menahan Othman dan seorang lagi yang turut berada di dalam kereta itu. Mereka akan didakwa di mahkamah pada hari esok.

Polis kemudiannya telah menangkap 17 orang dan menjumpai senjata berbahaya di Kampung Tualang Salak dalam sebuah rumah yang digunakan sebagai markas PAS.

Senjata-senjata itu termasuk selaras senapang patah, 25 butir peluru, empat kelewang, sebatang golok, sebilah kapak kecil dan dua batang kayu.

Lelaki Kelantan Dipenjara Miliki Kapak Kecil Di Singapura
Berita Harian, 4hb Mei, 1976

Muhammad Bin Salleh, 27 tahun dari Kelantan dihukum penjara sembilan bulan dan sebat enam kali kerana memiliki sebilah kapak kecil pada 7hb April di West Coast Road.

Dia juga dihukum lagi dua bulan kerana tinggal lebih masa di Singapura.

Kapak Untuk Kick
Berita Harian, BERNAMA Dan Lain-Lain, 11hb Januari 2010

Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang sering mengkritik pelbagai pihak termasuk pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan dalam blognya, dibaling dengan kapak Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.50 malam di kediaman penulis blog itu di Kampung Demit, dekat sini.

“Ketika kejadian mangsa dilaporkan berada di dalam rumahnya dan menyedari sesuatu berlaku di luar rumah sebelum keluar,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Kapak yang dilempar itu telah mengenai kenderaan SUV milik mangsa. Mangsa tidak mengalami kecederaan dan polis sedang menyiasat motif kejadian terbabit, katanya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, seorang bekas pemimpin PAS Kawasan Pasir Mas, memberi kenyataan kepada polis di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, pagi ini.

Beliau juga pegawai syarikat milik kerajaan negeri mengaku didatangi seorang lelaki bertanyakan tentang mangsa, beberapa hari sebelum kejadian semalam.

Beliau diberitahu hasrat lelaki itu adalah untuk ‘ajar’ kickdefella.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.