Hudud: PAS Bawa ‘Private Bill’ Ke Parlimen Mac Ini

KOTA BHARU – Ketika perbalahan PAS dan DAP dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) semakin tegang, PAS tampil menyatakan konsistensinya dalam isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan bercadang membawa rang undang-undang persendirian (private bill) ke parlimen pada Mac ini bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

“Kita bercadang akan membawa rang undang-undang persendirian itu ke parlimen pada Mac ini bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Hudud menjadi titik perbalahan sekutu pakatan pembangkang apabila DAP secara terbuka menolak pelaksanaan hukum Islam itu sama ada diperingkat negeri atau kebangsaan.

Pendirian DAP itu turut diperkukuhkan melalui satu resolusi yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan pernah meminta agar PAS akur dengan arahan DAP dalam isu tersebut memandangkan parti itu dianggap sebagai penumpang dalam gabungan parti pembangkang dan tidak mempunyai suara majoriti berbanding DAP dan PKR.

Sementara itu, Mohd. Amar bagaimanapun, tidak menyatakan tarikh sebenar rang undang-undang tersebut akan dibawa ke parlimen karana ia akan diputuskan oleh Menteri Besar.

“Parlimen akan bersidang selama sebulan tapi bila kita nak bawa itu isu lain tapi (akan dibawa) dalam sidang bulan Mac ini, itu cadangan kita, keputusannya akan diisytihar oleh Menteri Besar,” katanya.

Ketegangan PAS – DAP dalam gabungan politik pembangkang tidak berakhir di situ malah, ia terus berkesinambungan dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor pada tahun lalu.

Bahkan, ketegangan itu dilihat semakin parah setelah ia berjangkit dalam isu pilihan raya PBT yang dipertikai keras oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi menegaskan pilihan raya tersebut boleh melebarkan jurang antara kaum dan mendorong kepada insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 selain menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan kaum Cina sahaja.

Kenyataan Hadi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin DAP.

Bagaimanapun pendirian presiden PAS itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) yang juga berpendapat pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh menjurus kepada berlakunya perpecahan kaum lebih ketara di negara ini.