Kelantan Dalam Sejarah: Jambatan ‘Asmara’ Merentangi Sungai Kelantan

Di Kelantan, segala-galanya boleh menimbulkan percakaran politik, termasuklah pembinaan sebuah ‘gertok’. Kelantan Dalam Sejarah kali ini menyingkap kembali sejarah pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi Sungai Kelantan.

Ia adalah laluan utama menghubungkan Kota Bharu ke Pasir Pekan. 

Pada bulan Februari 1962, akhbar Berita Harian mendedahkan Kerajaan PAS Kelantan akan membina sebuah jambatan bernilai $2.5 juta menghubungkan Kota Bharu ke Pasir Pekan.

Peruntukan pembinaan itu adalah menerusi pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan. Apabila siap jambatan, ia akan memberi faedah kepada lebih 200,000 penduduk.

Bagaimanapun, sejak pendedahan Berita Harian sehinggalah siap jambatan tersebut, ia tidak pernah reda dari kontroversi, terima kasih kepada percakaran PAS dan PERIKATAN di Kelantan.

8 Mei 62
Ehsan National Library Board Singapore.

Menurut Berita Harian keluaran 21hb Februari, 1962, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat telah dipelawa oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk menjalankan kerja-kerja awal. Pembinaan jambatan itu akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Jambatan yang belum diberi nama itu telah menerima jolokan ‘Jambatan Asmara’,

“Saya panggil Jambatan Asmara kerana di jambatan itu mahu diadakan tempat makan angin untuk orang-orang berasmara,” kata Senator Nik Hassan Bin Nik Yahya, dalam perdebatan membincangkan titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Negara pada 7hb Mei, 1962.

Kerajaan PAS Kelantan telah membuat permohonan bantuan dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai jambatan yang ditafsirkan bernilai antara $2.5 ke $3 juta itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah bersetuju mempertimbangkan permohonan tersebut.

Tun Abdul Razak
Tun Abdul Razak

Pada bulan Jun, 1962, Kerajaan PAS Kelantan membuat pengumuman rasmi perletakan batu asas Jambatan Asmara. Menurut jurucakap Kerajaan Negeri, majlis itu akan diadakan pada bulan Julai tahun tersebut.

Kerajaan Negeri juga mengesahkan perjanjian telah dimeterai dengan sebuah syarikat Amerika – Jerman – Jepun untuk melaksanakan projek itu. Separuh dari peruntukan pembiayaan telahpun diperolehi dari ‘suatu sumber’ di Kuala Lumpur, tambah kenyataan itu.

“Menurut perjanjian itu alat-alat keperluan pembinaan tersebut akan sampai di Kota Bharu pada penghujung bulan Jun.

“Batu asas akan dapat diletakkan dalam pertengahan bulan Julai dan jambatan dijangka siap dalam masa 24 bulan,” jelas kenyataan dari Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun menolak permohonan bantuan kewangan daripada Kerajaan PAS Kelantan setelah mendapati Kerajaan Negeri enggan membenarkan penglibatan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di dalam pembinaan jambatan. Jurutera JKR juga tidak dibenarkan terlibat dalam perbincangan tender.

Walaupun diselubungi pelbagai kontroversi, pembinaan jambatan telah bermula 14hb September, 1962 selepas majlis perletakan batu asas oleh kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan. Jambatan tersebut diberi nama ‘Jambatan Sultan Yahya Petra’.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Ishak Lotfi Bin Omar di dalam ucapannya memberitahu bahawa jambatan itu akan kekal abadi menjadi ‘lambang peringatan’ pemerintahan PAS di Negeri Kelantan. Ucapara perletakan batu asas itu dihadiri oleh 500 orang jemputan.

Dato' Haji Ishak Bin Lotfi
Dato’ Haji Ishak Bin Lotfi

Seramai 41 orang ulama PAS kemudian membaca Yassin dan mengadakan solat hajat.

Pembinaan itu tidak selancar yang diingini apabila terpaksa berdepan dengan beberapa masalah yang mengakibatkan pembinaannya melebihi jangka masa yang ditetapkan dan kos melambung kepada $5 juta. Kerajaan PAS Kelantan mendakwa pembinaan itu dibiayai menerusi pinjaman kewangan.

Ini mengakibatkan pertikaman lidah berterusan antara Senator Nik Hassan dengan PAS Kelantan.

Nik Hassan mendedahkan pembiayaan Jambatan Sultan Yahya Petra sebenarnya dibuat menerusi geran persekutuan yang diberi kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan-tujuan yang ditentukan dalam perlembagaan.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Menurut Nik Hassan Kerajaan PAS Kelantan telah gagal menjelaskan ke mana perginya peruntukan geran persekutuan di dalam penyata kewangan negeri.

“Dari hasil (Negeri) yang berjumlah $9 juta lebih, bantuan Kerajaan Persekutuan menurut perlembagaan untuk perbelanjaan jalan-jalan negeri berjumlah sebanyak $1,003,860.00, geran mengikut bilangan penduduk ialah $3,722,008 dan bantuan persekutuan untuk pelajaran berjumlah $350,000,” tulis Nik Hassan di dalam akhbar tempatan.

Senator itu mendakwa Kerajaan PAS Kelantan telah bermain silap mata dan peruntukan Persekutuan telah dilarikan untuk pembinaan jambatan.

Muhammad Asri Haji Muda, Ahli Parlimen PAS dari Kelantan panas dengan tulisan Senator itu telah menyuruhnya supaya jangan ‘heboh-heboh’.

Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda, Yang Dipertua PAS, 1969-1982.
Muhammad Asri bin Haji Muda

Menurut Asri, “Kalaupun Kerajaan Kelantan mahu menggunakan wang tersebut untuk membina jambatan, maka mengikut istilah jalan raya, tidak sedikit pun salah, kerana jambatan adalah termasuk dalam jalan raya.”

Sementara itu, pada November 1964, Juru Audit Negara, D.G. Bompas menegur Kerajaan PAS Kelantan di dalam laporannya yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu, Kerajaan PAS Kelantan berada dalam keadaan kewangan yang sangat lemah sejak tahun 1963 dan sepenuhnya bergantung kepada peruntukan-peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk membayar segala hutang piutangnya.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja membelanjakan wang tunai dari Persekutuan bagi maksud sendiri, tetapi juga menggunakan kumpulan wang itu sejumlah $2.7 juta untuk mendapat faedah bunga dengan jalan menyimpan dalam bank.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

“Segala-galanya ini berlaku kerana bertambahnya belanja pembinaan jambatan Sungai Kelantan yang mulanya dianggar $3,479 juta tetapi sekarang dianggarkan telah menelan belanja kira-kira $5 juta,” jelas laporan tersebut.

Pada 16hb Mac 1965, Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pengguna Jambatan Sultan Yahya Petra akan dikenakan kutipan tol. Ini menjadikan ia laluan awam pertama di Malaysia yang dikenakan tol. Kutipan tol terpaksa dilakukan bagi mengutip semula perbelanjaan pembinaan jambatan baru itu.

Jambatan Sultan Yahya Petra dibuka dengan rasminya pada 18hb April 1965 oleh Kerajaan PAS Kelantan, tarikh itu dibuat sempena dengan konvensyen agong PAS yang turut diadakan di Kota Bharu.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.

Pada awal pagi 9hb Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri. Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam dalam pilihanraya itu.

Pada tahun 2007, Jambatan Ke Dua Sultan Yahya Petra telah dibina dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM184.4 juta itu telah dibuka sepenuhnya pada Oktober 2013.

Pembinaan yang telah mengubah landskap Kota Bharu itu melibatkan pembinaan jalan bertingkat 6 lorong dengan kemudahan laluan motorsikal dan basikal menghubungkan Pasir Pekan ke Bulatan Kijang, Jalan Hamzah ke Wakaf Siku dan Jalan Sultan Yahya Petra ke Jalan Dusun Muda.

Jambatan terbaharu itu juga tidak kurang mengundang percakaran politik di antara PAS dengan BN. Begitulah hangatnya politik di bumi Che Siti Wan Kembang ini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.